Total Pageviews

Saturday, September 27, 2014

Mensyukuri Musibah

Untuk memahami orang lain kita kena masuk ke dalam kasut mereka. Itu kata orang bijak-bijak.

Cuma masalahnya kadang-kadang kasut mereka dan kita saiznya tidak sama. Ada yang longgar dan ada yang ketat. Yang longgar itu kalau kita berjalan, kadang-kadang terlucut. Yang ketat pula kaki kita boleh melecet dibuatnya.

Bagi saya, itu tidaklah penting sangat. Sebab kasut yang longgar tetap boleh dipakai kalau kita masukkan tisu atau kapas di dalamnya. Kasut yang ketat pula barangkali boleh sahaja kita potong bahagian depan atau belakang. Walaupun tidak sempurna, tetapi kita tetap boleh berada di “dalam” kasut tersebut.

Memahami orang lain dan derita mereka tidak semudah menunjukkan muka simpati atau mengiyakan atau dengan bunyi berdecit-decit seperti yang selalu kita buat. Ia lebih daripada itu.

Derita kita tidak sama. Cerita kita juga kalau pun sama, ada babak-babak yang agak berbeza. Untuk memahaminya, kita kena memahami hati kita dahulu. Sejauh mana jendela hati kita telah terbuka. Dan kisah derita orang mesti kita simpan. Jangan sampai terburai isinya kepada orang lain, apa lagi kepada mereka yang memang berbakat menjadi juruhebah stesen radio kepoh.fm.

Apa yang kita lihat di muka tasik mungkin tidak sama dengan apa yang ada di lantainya. Barangkali ada pusaran-pusaran yang tidak kelihatan. Ada lubuk yang gelap pekat sehingga apa yang di dalamnya tidak nampak jalan keluar. Ada yang begitu. Terperangkap dalam sebuah institusi yang sepatutnya menjadi payung tempat berlindung.

Apabila kita pernah melalui jalan-jalan suram, kita akan lebih mudah memahami mereka yang melaluinya kini. Tugas kita ialah untuk mengingatkan mereka dan diri kita sendiri bahawa mensyukuri musibah adalah escapism paling bagus sebagai Muslim.

Yakinlah bahawa Allah mengetahui apa yang telah disusun di atas papan catur hidup kita. Apa yang kita sangka musibah terburuk dalam sejarah hidup kita, akan Allah ganti dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya. Barangkali bukan dalam bentuk material, tetapi ketenangan hati yang hakiki. Kita masih mampu tenang walaupun ada ribut di kiri kanan. Kita dianugerahkan orang-orang yang berbudi di sekeliling kita. Kita masih boleh tersenyum dalam kesakitan. Bukankah itu semua rezeki yang hebat Allah berikan kepada kita?

Nah, marilah kita mensyukuri musibah! Sebab musibah akan selalu mendewasakan, mematangkan dan menjadikan kita lebih siap siaga menghadapi kehidupan.

Jangan sesekali anda berkata, “bercakap memang mudah, tapi...”

Kita sudah pernah mengharungi lautan berombak ganas sedangkan sampan yang kita naiki bocor di sana sini. Kita telah menempuh ribut taufan yang boleh membunuh. Sehingga kini, kita masih berdepan dengan hujan ujian yang belum lagi berhenti.

Suatu hari nanti hujan akan berhenti. Kita pasti dapat melihat matahari.