Total Pageviews

Saturday, September 13, 2014

Tewas

Baru sehari dapat skrip lengkap dan berlatih, sudah kena previu. Pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan datang beramai-ramai. Ini imej mereka, imej negeri dan bagi kami, imej institusi.

Ada beberapa hal yang perlu diperbaiki. Kami mendengar komen dan cadangan sehingga jam satu pagi. Saya benar-benar keletihan. Sepanjang latihan dan hari pertandingan, waktu tidur barangkali hanya tiga jam lebih sedikit.

Jam sebelas pagi Khamis kami bergerak ke Pulau Pinang. Menginap di sebuah banglo tiga tingkat sebelum keesokan hari menuju ke Hotel Tabung Haji yang dipenuhi jemaah yang melakukan penerbangan ke Mekah. Kami adalah kumpulan pertama yang sampai untuk taklimat.

Melihat syarat pertandingan, mata saya buntang.

“Bagaimana ini, Datuk?” tanya saya kepada Datuk Alias yang turut mengiringi kami. Mujur waktu taklimat, syarat itu telah dipinda. Datuk kelihatan mengurut dada. Saya tergelak sendiri. Agaknya, hanya saya mak cik paling tua yang berlakon sepanjang pertandingan akhir itu.

Malam itu kami ada majlis makan malam di D’Paradise Seafood. Makanan laut. Ada persembahan pentarama juga. Cuma yang saya terkesan ialah lagu-lagu yang dinyanyikan tidak menggambarkan yang acara kami itu bersifat patriotik.

Saringan separuh akhir dibahagikan kepada dua hari. Tujuh negeri hari Jumaat dan baki delapan hari Sabtu. Tuan rumah yang sepatutnya membuat persembahan hari Jumaat telah memindahkan giliran mereka pada Sabtu. Kami jatuh menjadi peserta kelima.

Sebenarnya saya sangat penat sehingga membayang-bayang. Tetapi saya kuatkan diri untuk menyelesaikan tugasan ini. Saya menyediakan diri dengan hafalan dan mimik muka sebab hanya saya yang muncul sendirian di pentas. Dua lagi watak ialah “pemikiran” yang berada dalam minda “kotak” kiri dan kanan saya.

Meskipun begitu, saya kira saya bukan watak utama walaupun nampak utama. Minda “kanan” saya yang berada dalam kotak positif itu yang mempunyai banyak fakta untuk dikisahkan. Kami membaca doa. Saya menelefon mak untuk doa beliau. Dan akhirnya saya sedang menghadapi pentas.

Dua kali saya terlupa perkataan. Satu lepas dan satu lagi saya sebut perkataan lain.

Kami pasukan pertama yang menghantar flyers kepada juruacara, hakim dan penonton. Ada montaj yang lengkap juga. Kemudian baru diikuti oleh beberapa kumpulan lain.

Sejujurnya saya tidak puas hati dengan lakonan saya sendiri. Entah apa kena, juri seperti menekan buzzer terlalu cepat daripada yang sepatutnya. Sebenarnya kiraan masa bermula dengan perkataan pertama yang keluar dari mulut saya, bukan bermula dengan muzik latar atau montaj.

Walaupun pegawai penerangan negeri yang mengiringi kami berpuas hati dan menyatakan bahawa itu lakonan terbaik kami, saya masih kecewa. Keletihan yang teramat menyebabkan saya hanya berehat di hotel dan tidak mengikut rombongan ke Bukit Bendera.

Ini barangkali penglibatan terakhir saya di atas pentas untuk sebarang aktiviti lakonan. Lucu pula melihat muka sendiri dengan mimik muka berfikir-fikir semasa “minda” saya berdialog sesama sendiri!

Kami tewas bersama dua belas negeri lain berbanding lima belas. Esok adalah hari terakhir kami di sini dengan acara rasmi yang dihadiri menteri.

Adat pertandingan memang ada kalah menang. Ada suara-suara tidak puas hati. Ada dorongan-dorongan untuk menjadi positif. Ada desakan-desakan untuk memarahi diri.

Perjalanan hidup kita pun seperti pertandingan juga. Ada saatnya kita tidak boleh menang semua. Waktu-waktu kekalahan kita adalah peluang terbaik untuk proses koreksi diri.

Demikian saya merawat hati sambil memujuk siswa guru yang menjadi minda kanan dan kiri saya. Kesilapan kami ialah percaturan waktu. Pada lain ketika, perlu ada perancangan yang teliti supaya waktu betul-betul selaras dengan skrip.