Total Pageviews

Tuesday, September 9, 2014

Mengapa?

Pagi sewaktu di HUKM, saya membaca sesuatu.

“Salam. Saya sedang meneliti Hingyaku”.

Hingyaku lagi?

Kemudian saya bertanya, “ada apa dengan Hingyaku?”

Berlakulah tanya dan jawab. Saya fikir orang itu sama sahaja seperti beberapa kenalan yang sering bertanya mengenai Hingyaku selepas cerpen itu terbit. Tetapi kemudian baru saya perasan sesuatu. Nama orang itu!

Selepas itu dia meminta butiran peribadi saya dan nombor akaun bank. Eh?

Masya-Allah, itu editor DS. Menyedari itu, saya langsung mohon maaf .

“Itu Hingyaku lama. Maaf, cerpen itu sudah terbit di akhbar pada 31 Ogos. Selepas DS menolak karya itu tahun lalu melalui penolong editornya, saya anggap DS sudah tidak berminat. Maka saya peram, saya baiki, saya buat sedikit kajian dan saya hantar ke akhbar menjadi Hingyaku yang baharu. Sayangnya...” kata saya.

Memang sedikit terkilan sebab bukan mudah untuk “dipinang” oleh sebuah majalah yang sehebat itu. Dipinang pula oleh editornya sendiri. Tetapi kemudian beliau membalas, “kalau begitu tidak mengapalah. Tapi saya harap ada cerpen kakak yang disiarkan oleh DS pada tahun hadapan. Hantar terus ke e-mel saya, jangan kepada yang lain...”

Memang belum rezeki untuk cerpen saya menembusi DS. Hanya Allah yang tahu sebabnya.

Dalam kesibukan dan kekangan masa berlatih untuk pengkisahan peringkat kebangsaan, saya dikhabarkan yang si bongsu mengalami kemalangan. Dia melanggar belakang lori dan keretanya rosak agak teruk. Kepalanya terhantuk.

Fokus saya terganggu di pentas. Mujur Daddynya sudah balik ke tanah air dan boleh membantunya dengan memberi penerangan tentang apa yang perlu dilakukan.

Esok kami akan memulakan perjalanan untuk sebuah perjuangan mewakili negeri tempat kami mencari rezeki. Pengarah saya yang baik hati (dan sangat saya tidak sangka), sangat merisaukan keadaan kesihatan pegawainya ini. Beliau bimbang jika saya kurang selesa menaiki van Jabatan Penerangan.

Meskipun tidak tahu akan nasib kami, kami akan cuba melakukannya dengan sebaik mungkin. Mudah-mudahan Allah melapangkan segala usaha, menguatkan ingatan dan hafalan dan memberikan kami kesihatan yang bagus.

Hanya kepada Dia kami berserah.