Total Pageviews

Saturday, September 6, 2014

Lentera Zaman



Tiba di KL Sentral jam 10.00 pagi. Perut merengek minta diisi. Akhirnya kami bersarapan dengan makanan orang putih. Sekadar makan untuk mengambil ubat. Tekak kampungan saya tidak mampu menelan makanan dengan nama yang pelik-pelik itu.

Kata anak saya, “Bukankah ibu yang perkenalkan makanan macam ni. Lepas tu cakap tak reti makan”.

Hehe...

Saya menelefon beberapa orang termasuk Kak Mun dan Abangcik Zainal Abas, bertanyakan arah jalan untuk kepastian.

Menaiki teksi memang pengalaman menakutkan jika pemandunya pun dahsyat. Lelaki Melayu sekitar umur hujung lima puluhan. Wajahnya bengis dan mulutnya tidak berhenti merungut ketika saya menghulurkan alamat. Saya berikan panduan yang disebut abang cik dan Kak Mun tetapi dia enggan ikut sebab katanya Rumah Gapena di sebelah kanan. Ketika kami sampai, rumah itu sunyi. Memanglah, itu rumah yang lama. Rumah Gapena baharu telah beralih tempat setahun lalu.

Dia terus marah-marah dan merungut. Memandu dengan kasar sebagai melampiaskan rasa tidak puas hati. Saya tidak faham mengapa dia begitu. Dia seorang pemandu teksi yang mesti selalu sabar dan saya telah cuba bercakap selembut mungkin, malahan memberikan telefon saya supaya dia dapat bercakap dengan abangcik Zainal Abas.

Melayu. Islam (barangkali). Sudah tua. Apakah kalau saya ini orang putih, layanannya berbeza? Nampaknya kita belum merdeka! Waktu menyuap sarapan ala orang putih itu, hati saya berdetak juga sebab tidak kelihatan premis yang menjual makanan Melayu. Apakah Perhentian KL yang telah “disentralkan” itu melambangkan merdeka kita yang masih di bawah tempurung besar kerangka minda terjajah?

Tiba di Rumah Gapena, saya disambut beberapa orang kenalan. Seorang daripadanya melaungkan, “Hingyaku!” Eh?

Ada acara yang sedang berjalan. Saya duduk berbual di luar. Kemudian penulis yang melaung nama saya “Hingyaku” itu datang.

“Saya mahu tanya, siapa Hingyaku itu sebenarnya? Taubi itu pula siapa? Lokasi kejadian apa itu...di atas Semenanjung?”

Saya tergelak.Belum habis lagi rupa-rupanya kisah Hingyaku.

Saya beritahu dia bahawa saya cuba mengangkat isu penderitaan masyarakat Rohingya dengan meletakkannya ke dalam watak seorang perempuan kurus sekeping. Taubi itu nama adik bongsu saya. Tempatnya ialah negara di hujung kepala Semenanjung. Saya katakan kepadanya, sudah lama cerpen itu saya tulis waktu keluar berita masyarakat Islam Rohingya dibunuh dan dibakar.

“Bukan cerita diri saya, atau adik lelaki saya. Kalau ada pun hanya kebetulan”.

Dia mencari jika saya ada menyentuh mengenai tokoh wanita Myanmar yang sangat hebat itu.

“Ada ironinya. Dia hebat memperjuangkan nasib masyarakatnya tetapi menutup mata dan telinga dalam isu Rohingya...”katanya.

Memang saya tidak sentuh mengenai hal itu walaupun ada keinginan untuk berbuat demikian. Kalau saya melakukannya, kajian kena dibuat. Lagi pun, mahukah akhbar menyiarkan cerpen yang begitu?

“Lelaki itu, yang berwatak saya, diam-diam jatuh cinta dengan Hingya. Kena buat sambungan Hingyaku 2...”

Err...

“Buat novel daripada cerpen itu, Yang!” saran seorang penulis wanita pula.

Petang itu ada diskusi puisi-puisi yang terdapat dalam antologi Lentera Zaman. Puisi itu hasil karya bos saya, Puan Hajah Mahaya. Alhamdulillah, puisi beliau dan saya “Mengisi Rumah Merdeka” tidak mengalami sebarang editan.

Dato’ Rahman Shaari sebagai salah seorang penilai, memberikan beberapa istilah baharu seperti “penyair tempahan” dan “suara deklamatori”. Antologi ini akan digunakan secara rasmi untuk teks wajib sayembara deklamasi kemerdekaan bermula tahun ini menggantikan Jamung Merdeka. Ada seratus lebih puisi yang diterima tetapi hanya 41 buah yang melepasi saringan.

Sebetulnya memang berlaku peperangan dalam diri apabila diminta menulis puisi dengan tema dan syarat tertentu, dalam waktu seminggu lebih sedikit. Sejujurnya saya tidak begitu berpuas hati dengan sajak yang ini berbanding Taman Merdeka, yang saya tulis dengan bersungguh-sungguh. Beberapa orang deklamator membaca dengan lancar sajak Taman Merdeka dan Ini Ruang Persembahan Sebuah Perjuangan tatkala nampak saya, sedangkan saya sendiri tidak menghafal sajak-sajak tersebut.

Sempat juga belajar ilmu perdekonan daripada Amran Ibrahim Rashidi. Nampaknya konsep yang saya fahami adalah betul tetapi ada juga pengetahuan baharu yang sangat berguna untuk saya jika mahu mementaskan dekon sekali lagi.

Kawan-kawan ingat saya menang lagi HSKU tahun lepas. Saya tidak menulis di Mingguan Malaysia pada tahun lepas, hanya di BH.

“Tulis novel, Yang. Novel remaja. Tahun lepas, orang yang sama menang tempat pertama dan kedua”, kata Dr Saleeh Rahamad.

Mereka pujuk saya untuk menginap di Rumah Pena sebab malam nanti ada acara serentak di Rumah Pena dan Gapena. Tapi saya menolak sebab teringatkan si Baby di rumah. Lagi pun banyak kerja saya yang sangat urgent, adik pun mahu pulang ke kampus keesokan hari. Abangcik Zainal Abas yang baik hati memberi jaminan dia akan hantar saya dan anak ke KL Sentral. Tetapi kemudiannya tidak jadi sebab saya menumpang Puan Hajah Mahaya untuk balik ke Seremban.

Bertemu kawan-kawan memang menyeronokkan. Tidak kira siapa, kami bersila dan makan di lantai. Tiada yang sibuk dengan pangkat dan nama.

Ini antologi puisi kedua yang terbit untuk tempoh Januari hingga 6 September 2014, dua buku akademik, tiga cerpen dan sepuluh sajak. Saya sedang menunggu beberapa antologi lagi.

Moga Allah memberi jalan dan ilham. Segala puji bagi Dia pemilik segala ilham dan jalan.