Total Pageviews

Monday, September 1, 2014

Que Sera Sera

Tidak sangka. Banyak komen yang saya terima mengenai Hingyaku. Ada yang menyebut, “sudah lama saya tidak baca cerpen kak” atau “penulis wanita dapat menyelami watak lelaki” dan “menggarap isu dunia dalam bahasa yang lancar” ...bla...bla...bla.

Yang paling bagus ialah pertanyaan daripada Cikgu Rafidah dari Lenggong, "adakah Encik Taubi akhirnya menjadi kekasih Rohingya?"

Ya, memang sudah lama saya tidak menulis cerpen. Tahun 2014 (sehingga hujung Ogos tiga puluh satu), ini cerpen ketiga yang tersiar di akhbar (selain cerpen "Hujan Sudah Berhenti" dan "Mencari Bulan") berbanding sajak yang sudah melebihi sepuluh buah. Kali terakhir cerpen saya diterbitkan oleh akhbar Mingguan Malaysia pula cukup lama, pada tanggal 26 Oktober 1997.

Dahulu saya rajin menulis cerpen untuk majalah. Apabila saya lihat semula yang ada dalam simpanan (ada beberapa buah yang telah hilang lenyap entah ke mana), temanya tidak pernah lari daripada isu kekeluargaan dan perjuangan perempuan. Nampaknya saya gagal lari daripada tema yang begitu walaupun telah cuba mengangkat isu global dalam Hingyaku.

Sebenarnya Hingyaku sangat panjang. Telah saya potong tetapi nampaknya masih kena edit dengan editor sebab melebihi jumlah perkataan yang ditetapkan. Mujur tidak begitu melompat-lompat jalan ceritanya.

Mengenang hal berkarya ini, beberapa tahun lalu, saya asyik dibebel. Katanya, sudah ada bakat, sudah menang, sudah ada buku, menulis sahajalah terus. Mengapa berhenti. Saya tersengih-sengih sahaja. Waktu-waktu itu saya sedang berjuang. Sibuk dengan anak-anak, dengan kerja. Sekarang ini berjuang juga, dengan encik kuman pula. Cuma sekarang, saya lebih berfikir mengenai kerja yang banyak itu, saya kurang fokus kepada hal-hal lain. Que sera sera. Kesimpulannya ialah, redah sahaja apa yang ada di hadapan, belakang, kiri dan kanan. Kalau takut lumpur penuh di kaki, pakailah but!

Sekarang saya pula membebel kepadanya. Dia boleh memotret orang, boleh melukis pemandangan tetapi asyik benar bekerja. Sudah ada bakat, melukislah terus, mengapa berhenti...hahaha (bolehkah ulang bebelannya begitu?).

Demikianlah kisah dalam perjalanan hidup kita. Allah beri kita nikmat ilham, kenalah kita hargai. Semuanya itu daripada Dia. Kita tidak punya apa-apa.