Total Pageviews

Wednesday, August 6, 2014

Teladan Ribut

Saya membaca tulisan dalam bahasa Indonesia itu dengan perasaan yang sangat bermotivasi. Maka di sini saya alihkan bahasanya dengan gaya cerita yang saya hadam dan fahami. Mudah-mudahan dapat dijadikan iktibar dalam menjalani proses hidup ini.

Seorang ayah dan anak sedang dalam perjalanan yang panjang. Si anak mengemudi keretanya dengan cermat. Kemudian mereka melalui satu kawasan yang mengalami ribut yang berputaran, mengangkat objek di sekitar menjadi puing-puing. Debu berterbangan, suasana kelihatan seperti tiada lagi istilah esok masih ada.

Anaknya kecemasan lalu bertanya kepada ayah, “bagaimana ayah, perlukah kita berhenti?”

Ayahnya menyambut pertanyaan itu dengan kata-kata, “teruskan. Jangan berhenti!”

Lalu si anak meneruskan perjalanan meskipun hatinya berbelah bahagi. Dengan terpaan ribut yang ganas itu menyukarkan dia mengemudikan kereta. Dia seakan hampir tidak dapat melihat apa yang ada di hadapan disebabkan cuaca menjadi murung akibat amukan ribut taufan. Sekali lagi dia menoleh ke arah ayahnya dengan pertanyaan, “bagaimana ayah?” dengan maksud mahu berhenti.

Tetapi si ayah masih bertegas, “jangan berhenti. Teruskan perjalanan!”

Dalam keadaan yang sangat cemas itu, si anak bersusah payah meneruskan perjalanan mengharungi angin yang sangat kuat, menerbangkan segala yang ada di tepian jalan. Sehinggalah akhirnya mereka tiba ke kawasan yang aman daripada bencana ribut tadi.

“Baiklah, kamu boleh berhenti sekarang...” kata si ayah.

Si anak berasa keliru. Mengapa waktu di kawasan yang dilanda bahaya tadi, ayahnya bertegas mahu dia meneruskan perjalanan.

“Cuba kamu toleh ke belakang...” si anak menoleh. Dia dapat melihat dengan jelas, kawasan bencana yang ditinggalkannya itu dengan pusaran angin yang merosakkan segala yang wujud dalam kawasan tersebut.

“Kalau kamu berhenti di situ, kamu pun akan menjadi seperti itu. Diangkat angin dan hancur musnah”.

Maka si anak mendapat pelajarannya.

Dalam menjalani hidup, kita pasti akan mengalami ribut masalah. Kalau kita berhenti pada saat masalah itu sedang mengganas, kita pun bakal musnah akibat masalah yang tersebut. Kita mesti mendepani masalah itu dengan berani. Menempuhnya dengan kekuatan yang bersisa. Bertegas untuk keluar daripada segala ujian yang melanda.

Setiap masalah ada penyelesaiannya. Ia bukan kata-kata klise atau hanya satu retorika. Memang suratannya telah tertulis begitu. Itulah wujudnya sebab dan akibat. Ada jalan masuk dan ada juga jalan keluar.

Saya juga belajar daripada cerita ini. Cerita yang sangat bermotivasi dan mengembalikan semangat yang terbang.