Total Pageviews

Friday, August 29, 2014

Merdeka?


Ini lukisan si bongsu menceritakan ibu (juga Baby & Kura-kura) yang memberi semangat kepadanya untuk menghabiskan latihan praktikal

Apabila singgah ke pasar raya itu untuk membeli buah-buahan, saya selalu ternampak pasangan ini dan dua anaknya, seorang lelaki dan seorang perempuan. Yang lelaki itu barangkali dalam usia tadika dan yang kecil masih menyusu.

Kedua-dua pasangan muda itu pula kelihatan kulit mereka seperti terbakar matahari. Suaminya gempal sedikit, selalu memakai seluar paras lutut. Si isteri kurus melengkung, berambut agak panjang berikat satu, selalu memakai seluar panjang dan tidak kisah dengan orang lalu-lalang jika dia mahu menyusui anaknya.

Mereka akan selalu berada berdekatan pintu masuk pasar raya, mungkin mahu menumpang sejuk pendingin hawa. Si bapa akan bergurauan dengan anak lelakinya sambil berkongsi jajan di muka pintu pasar raya.

Entahlah, saya tidak pernah bertanya kepada pengawal keselamatan yang ada di situ mengenai keluarga ini. Tetapi yang jelas ialah memang mereka mahu menumpang sejuk pendingin hawa apabila suatu petang saya mendengar bicara si isteri yang menyuruh anak lelakinya duduk ke dalam sedikit supaya “rasa sejuk”.

Dalam keanehan keluarga kecil itu, mereka nampak bahagia. Macam tiada masalah atau stres yang bergayutan di wajah mereka.

Bahagia itu definisinya bersifat subjektif. Barangkali kehidupan mereka yang mudah tanpa hutang yang besar-besar jumlahnya itu merupakan kebahagiaan sebenar. Meskipun dilihat aneh, tetapi saya suka dengan penemuan subjek baharu ini. Setiap kali ke sana (sambil terhegeh-hegeh membawa tembikai gemuk), saya akan diam memerhati di sebalik rak sabun pencuci yang betul-betul bertentangan dengan muka pintu pasar raya.

Suatu hari nanti, saya mahu menjadi “wartawan” semula. Saya akan jumpa mereka dan berbual. Mungkin akan ada kisah menarik yang dapat saya pelajari dan ambil iktibar. Kisah manusia adalah guru terbaik untuk kita memperbaiki kehidupan kita, mensyukuri segala apa yang kita ada.

Esok hari ulang tahun kemerdekaan negara. Merekakah yang sudah merdeka atau kita yang masih terpenjara?

Walau apa pun, saya akan menanti kepulangan si bongsu yang sudah menamatkan latihan amalinya. Dia akan bercuti seminggu, menemani saya ke majlis pelancaran teks antologi sayembara kemerdekaan di KL. Seminggu rumah akan riuh sedikit sebelum dia menyambung pengajian tahun akhirnya. Paling disyukuri apabila dia diterima sebagai ilustrator sambilan di Galeri Ilmu.

Anak angkat pula sedang menanti kelahiran kedua. Putera juga. Sempat menelefon dalam kerja yang bertimbun, sekadar memberi semangat. Mudah-mudahan cucu kedua itu lahir pada Ogos tiga puluh satu.