Total Pageviews

Friday, June 20, 2014

When I Was...

Pak Wan mahu membuat iklan mengenai Pameran Solo Catan dijangka berlangsung Julai. Dia menanyakan pandangan saya berkaitan ayat-ayat yang ditulisnya.

Sebenarnya saya suka dengan ayat yang menjadi tajuk pameran iaitu "When I Was..." tetapi nanti saya dikatakan tidak mencintai bahasa ibunda pula. Maka saya berikan cadangan kalau mahu diterjemahkan dalam bahasa kita. Saya baiki ayat-ayatnya dan mencadangkan beberapa perkataan yang sinonim dengan makna lakaran-lakaran Pak Wan.

Saya terlena sebentar tetapi ayat-ayat itu masuk sekejap dalam mimpi saya. Apabila terjaga, jam sudah sebelas malam. Mengharapkan tidak mengganggu, saya mengirim mesej kepada Pak Wan dengan ayat yang singgah sekejap dalam lena tadi. Pak Wan gembira. "Sangat tepat dengan apa yang Pak Wan mahu sampaikan..." katanya.

"Nanti boleh sumbangkan satu sajak masa pelancaran?" tanya Pak Wan. Boleh sahaja, cuma saya kena tatap dahulu lukisan Pak Wan.

Sebenarnya Pak Wan antara insan seni yang selalu terkepung dalam kotaknya. Saya memahami itu.

Itu sebab saya sangat seronok kalau berkolaborasi dengan orang ini. Walaupun dia hebat, tetapi dia menyimpannya dalam baju yang dipakai. Orang yang hebat tidak bersungguh-sungguh mempamerkan dirinya hebat, malahan orang tidak tahu pun akan kehebatan yang dianugerahkan Allah kepadanya.

Pak Wan juga sedang membangunkan misi motorhome untuk kembaranya jika telah menamatkan perkhidmatan. Saya sendiri memiliki impian untuk sebuah motorhome ini. Kalau ada impian, pasti suatu hari akan terbuka jalan...

Hari ini saya juga membuang beberapa entri yang berbaur negatif. Ada puluhan entri lagi yang akan saya padamkan perlahan-lahan. Kadang-kadang saya main-main sahaja menulis, sehingga menimbulkan rasa tidak enak orang yang membaca. Tidak baik begitu, sebenarnya.

Ada beberapa hal yang sedang "menyerang" kubu hati saya ketika ini. Mudah-mudahan Allah memberikan saya jalan keluar yang bagus untuk semuanya.