Total Pageviews

Friday, June 27, 2014

Warisku Juara

Lewat petang Rabu, kami mengadakan latihan di hadapan pusat sumber. Hanya tiga kali run sebab azan Maghrib sudah dilaungkan. Itu sahaja kesempatan yang ada. Masa sudah sangat suntuk. Tiga pelakon termasuk saya dan empat krew yang terdiri daripada siswa-siswi guru. Saya kagum dengan budak-budak itu, mereka kreatif dan energetik.

Maka saya pun kena begitu walaupun berasa sangat penat ekoran ulang alik ke beberapa tempat menguruskan sesuatu.

Malam itu saya ada urusan juga meskipun terlalu letih. Hanya lebih kurang tiga jam setengah dapat lena. Esoknya dalam kantuk, kami membuat persiapan dan latihan sebab jam sebelas, pihak Jabatan Penerangan akan datang menjemput dengan van.

Ada empat pegawai yang datang. Kami menuju ke dewan SMK Undang Jelebu untuk Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan 2014 peringkat Negeri Sembilan. Ada beberapa pasukan mewakili daerah-daerah di negeri ini. Ada juga yang memang grup teater.

Kumpulan kami, Waris, mendapat undian yang terakhir. Menonton persembahan kumpulan-kumpulan sebelumnya, saya mencongak-congak mana yang out dan yang OK.

Akhirnya tibalah giliran Waris. Kami mengangkat tangan berdoa agar diberikan kelancaran berkisah, kelancaran urusan teknikal dan kelancaran pergerakan. Saya kepanasan sepanjang dua puluh minit di atas pentas sebab lampu sorot yang betul-betul berada di belakang saya.

Saya beritahu budak-budak itu, “jangan gentar dengan pasukan-pasukan lain meskipun mereka dari grup teater. Kita ada kekuatan tersendiri. Abaikan perang psikologi. Kita naik dan lakukan yang terbaik untuk berkisah dan menghiburkan audien”.

Naluri saya mengatakan bahawa kami akan ada tempat. Pertamanya, kami mengisahkan local figure yakni Pendeta Za’ba. Keduanya, teknik dan prop yang digunakan berbeza daripada pengkisahan konvensional.

Alhamdulillah, waktu pengumuman pemenang, kami dinobatkan sebagai johan dengan membawa pulang wang 3K, sijil dan piala.

Insya-Allah jika tiada halangan, kami akan meneruskan perjuangan ke peringkat kebangsaan di Pulau Pinang pada bulan September.

Jam 6.40 petang, kami tiba di kampus. Saya bergegas ke Balai Kerapatan. Siswa-siswi guru ada yang sedang membuat persiapan dewan. Raptai telah tamat.

Saya menghafal sajak untuk sambutan Hari Guru peringkat kampus. Keesokan harinya saya yang paling awal menunggu di belakang pentas. Pak Wan datang dan kami berbincang mengenai acara baca sajak yang bakal berlangsung dalam beberapa minit lagi.

Minggu buka semester yang agak mencuri waktu tidur saya. Saya akan bertahan setakat yang saya mampu. Ramadan pun bakal menjenguk sehari dua lagi.

Saya yakin Allah sentiasa memberikan jalan keluar walau sebesar mana pun kesulitan yang kita hadapi. Tiada jalan mati kecuali kita yang mahukan ia begitu.