Total Pageviews

Saturday, June 28, 2014

Ke Sekolah Ramadan

Esok sekolah Ramadan bakal membuka daun pintu seluas-luasnya untuk kita meraih pahala.

Sepanjang pagi ini meriah siaran IKIM menyiarkan lagu-lagu kerohanian berkaitan bulan penuh berkat itu. Daripada lagu pelbagai bahasa sampailah pelbagai irama.

Sepanjang pagi ini juga saya panjat memanjat menurunkan langsir, membuka sarung kusyen dan lain-lain untuk dicuci. Saya biasa melihat mak melakukannya setiap kali menjelang Ramadan. Meskipun dahulu mak tidak mampu membeli langsir baharu tetapi mak dan ayah akan mencucinya di sungai dengan sabun cap kapak dan memastikan Ramadan disambut dengan segala yang bersih.

Bersih di luar dan di hati. Demikian saya mendapat pelajaran memahami makna daripada mak dan ayah yang tidak educated tetapi memiliki ijazah dari universiti kehidupan.

Ini peluang kita untuk berdoa. Pintu neraka ditutup dan syaitan serta sekutunya menangis hiba. Pintu syurga dibuka seluasnya. Para malaikat di langit bersedia untuk mengaminkan doa. Wahai jiwa, kita tidak pernah tahu adakah ini Ramadan yang terakhir buat kita.

Semalam Puan Faiz memberitahu, “seorang pesakit kanser kenalan rakan kita, sekarang ini hanya ada tempoh enam bulan. Dia sudah menjalani segala macam jenis rawatan. Sangat cergas dan sudah boleh bertugas. ..”

Saya menukas, “Ya, untungnya dia tahu tempoh kematiannya walaupun tidak pasti tarikh dan masa. Kita ini memang jenis yang beruntung. Penyakit macam ini menyebabkan kita lebih bersedia. Kalau tidak, entah ke mana hala kita bersuka ria...”

Jalani sahaja sisa hidup ini. Ampuni orang-orang yang pernah berbuat salah kepada kita. Mohon kemaafan juga kepada mereka yang pernah kita lukai. Minta ampun dengan Allah atas segala ketelanjuran kita. Perbaiki amalan secara berterusan. Berbuat baik sesama insan, haiwan dan alam.

Apa yang saya masih bimbangkan hanyalah anak-anak dan emak. Emak yang sudah tujuh puluh enam, meskipun masih cergas tetapi memerlukan lebih perhatian dan kasih sayang. Saya berada jauh. Meskipun setiap hari menelefon mak, tetapi manakan sama dengan jasad kita berada di sisinya.

Cuma anak-anak itu...saya mengharapkan mereka tidak melakukan kerosakan dalam kehidupan sebab sekali sudah rosak, sukar sekali mahu memperbaikinya. Kerosakan itu akan menyebabkan timbul pula kerosakan-kerosakan lain.

Ramadan pasti merawat hati kita.

Dengan doa mak, lawak jenaka suami dan kasih sayang adik beradik saya.

Kita akan mendaftar masuk ke sekolah Ramadan menjelang Maghrib nanti...