Total Pageviews

Sunday, June 8, 2014

Sushi dan Onigiri

Dua ekor ikan emas itu rupa-rupanya ada bunyi seperti sedang “menyusu” ketika mencungap-cungap di muka air. Kalau nampak tangan kita memegang bekas makanannya yang bulat kecil itu, kedua-duanya kelihatan tidak sabar-sabar, seakan ikan yang kebuluran di Ethiopia.

Ikan emas itu tidak bernama. Tidak mahu diberi nama. Takut kalau kedua-duanya mati, saya akan merana. Tapi adik kata, kalau nama Sushi dan Onigiri pun OK juga! Atau Lemang dan Ketupat!

Waktu si bongsu masih bercuti di rumah, dia yang rajin melayan haiwan itu. Mencuci bekas, memberi makan. Sama seperti dia melayan Milo dan Vanilla, brazillian tortoise miliknya.

Vanilla sangat aktif dan suka memanjat pokok hiasan yang diletak dalam bekasnya sampai tumbang. Kata si adik, kura-kura yang itu sangat cerdik. Nampak saja bekas makanan diambil, dia akan kejar untuk makan. Berbeza dengan Milo yang lebih introvert dan macam ada masalah kemurungan...

Si Milo suka bersembunyi di bawah jambatan dalam rumahnya itu. Kalau disuakan makanan, lama baru dia menjulurkan kepala. Kasihan budak Milo itu, agaknya dia ada masalah apa agaknya...

Dua ekor kura-kura comel itu telah ikut tuannya balik ke Puncak Alam. Tinggal dua ekor ikan emas yang cantik warnanya. Asyik makan sahaja, perut pun sudah buncit macam lelaki-lelaki pertengahan umur zaman sekarang. Botak dan buncit...

Hari ini Luna pun sudah ikut tuannya balik ke Bangi. Buas betul. Dua kali terlepas ketika dia bermain golek-golek dalam bebola. Jenuh mengepung takut dia berlari ke luar rumah. Ketika dia tidur, nampak seperti bayi kecil yang kadang-kadang tidur terlentang, menelangkup, mengiring dan membulat. Lena sungguh, dipanggil namanya pun dia tidak terjaga. Sudah saya belikan rumah baharu yang lebih besar dan ada gelungsur tetapi rumah itu ditinggalkan di Bangi.

Tinggallah saya dengan dua ekor ikan emas yang tidak boleh dipegang-pegang macam Luna, Vanilla atau Milo.