Total Pageviews

Thursday, June 5, 2014

Seekor Ketberi

“Sedang memandu. Nasib baik tidak langgar ketberi yang melintas”

“Dia yang buat hal mengketbeributa, tetapi akhirnya aku yang terpaksa menanggung”

Binatang itu sudah dijenamakan dengan panggilan baharu.

Saya membacanya dengan sedikit lucu. Campur sedikit sedih. Dengan rasa luka. Terhina. Atau entah apa.

Binatang itu tidak bersalah. Dia ciptaan Allah juga. Yang khilafnya ialah kita. Kita yang kurang awas, yang kurang prihatin dengan isi kandungan makanan yang masuk ke perut, sebati dengan darah dan daging sehingga membentuk hati yang keras terhadap agama.

Saya pun makan ketberi, maksud saya yang coklatnya, bukan binatang berjenama baharu itu. Saya belikan untuk anak-anak sebab mereka gemarkan coklat. Entah berapa banyak yang sudah masuk dalam perut saya dan mereka. Patutlah susah betul mahu melakukan kebaikan.

Sekarang sudah ada pertentangan pendapat. Satu kata haram dan satu kata halal. Benda itu bukan makanan ruji. Produk yang tidak tahan dengan cuaca negara kita. Sebenarnya bukan menjadi masalah pun kalau kita tidak makan.

Saya lebih mempercayai KKM. Bukan bermakna JAKIM tidak betul. Mereka telah membuat ujian makmal atas sampel yang diambil dari kilang, tetapi bukan yang ada di pasaran.

Yang saya kurang setuju ialah sekarang ini sibuk mahu mencari pegawai yang membocorkan rahsia ujian makmal. Tindakan mahu diambil atas beliau. Memanglah barangkali beliau silap sebab terlalu cepat mahu umumkan. Tetapi pada pandangan saya, selesaikan yang lebih utama dahulu, yakni keyakinan massa terhadap kewibawaan logo halal itu.

Lagi satu ialah organisasi yang sibuk mahu menukar darah dan sebagainya itu. Cuba jugalah jadi juara kepada usaha membanteras rasuah? Bukankah binatang ketberi dan rasuah itu sama sahaja status haramnya?

Apa pun, nampaknya si ketberi itu sudah sama popular macam dua ekor panda gergasi yang dipinjam selama sepuluh tahun dengan kos RM74 juta.

Hal panda itu, niatnya bagus iaitu sebagai penjernih hubungan diplomatik dengan negara China yang tercalar sedikit dengan insiden misteri pesawat terbang.

Tetapi semalam, saya bermimpi salah seekor panda itu mati...

Aduhai, bagaimana jadinya nanti kalau mimpi itu menjadi kenyataan? Harap-harap tidak begitu. Malaysia sudah terlalu menderita!

Nampaknya ada idea cerpen baharu...matinya seekor panda!