Total Pageviews

Monday, June 2, 2014

Panjangnya Perjalanan


BH 1 Jun 2014

Kami terlewat sehari. Tidak sempat ikut ke Nanyang University. Sudah Maghrib baru tiba di Skudai. Keupayaan adik memandu jauh sudah teruji. Dia lulus dengan cemerlang!

Penginapan di BTP JB sangat bagus. Kami dapat dua bilik tapi hanya menggunakan satu. Setiap bilik ada dua katil, tandas dan kamar mandi berasingan, balkoni untuk menyidai pakaian, pendingin hawa, kipas, dua meja, TV dan satu almari pakaian. Bilik kami di aras empat.

Kemudian baru tahu bahawa dua rakan terpaksa balik sebab ada kecemasan.Hilang sedikit kemeriahan tanpa dua rakan yang tersebut.

Malam itu kami membuat kunjungan awal ke kediaman Lin, siswi guru yang akan melangsungkan perkahwinan pada 14 Jun. Lin adalah siswi kumpulan major sulung daripada tiga kumpulan major BM. Semester hadapan Lin akan menghabiskan semester akhirnya sebelum menamatkan pengajian. Turut hadir ialah Asri, siswa guru yang turun dari Melaka. Tunang Lin juga ada.

Enak dan banyak sekali juadah yang terhidang. Paling suka apabila menjamah makanan yang terkenal di selatan iaitu pisang salai. Rasa segan pula menerima keramahan dan kebaikan keluarga Lin menyambut kumpulan pensyarah dan keluarga JPM. Kami tidak dapat hadir ke majlis Lin sebab pada tarikh yang tersebut JPM ada lawatan profesionalisme ke Medan.

Malam itu kami tidur dalam keletihan yang amat sangat. Cuma adik yang masih bertahan menghabiskan tugasan grafiknya.

Esoknya ialah jadual ke USS. Awal pagi kami ke Centre Point JB untuk menunggu bas yang akan membawa kami ke Singapura.

Saya, anak-anak, Encik Badrul dan Puan Parimala membentuk satu kumpulan kecil mencari tempat untuk sarapan. Masalah besar buat saya! Sebab awal pagi itu semua yang beroperasi ialah kedai mamak. Berpusing-pusing kami mencari tetapi gagal menemui kedai makan Melayu.

Akhirnya sebab kasihankan rakan-rakan, kami duduk juga di sebuah kedai mamak. Saya cuba untuk makan nasi lemak bungkus dan teh tarik tetapi hanya sesudu.

Untuk membuang rasa bersalah, cepat-cepat saya membayar sarapan rakan-rakan. Kasihan mereka sebab bersama dengan si cerewet...

Penat juga dua kali turun naik ke sekatan imigresen. Orang ramai sebab hari Sabtu dan musim cuti sekolah.

Di USS, saya dan anak-anak bergerak dengan Encik Badrul. Tidak boleh berpecah sebab jam lima mesti sudah menunggu bas yang akan membawa kami pulang ke JB.

Walaupun kami dapat baucer 5 SGD setiap seorang, tetapi amat sukar mahu makan disebabkan saya bimbang akan kehalalan makanan yang dijual. Lagipun orang beratur panjang di premis-premis yang menjual makanan. Akhirnya keempat-empat kami tidak menggunakan baucer tersebut.

Masuk ke Malaysian Food, memberikan lagi satu masalah. Memang tajuk kedai nampak Malaysian tetapi saya tetap meragui status halalnya. Jadi, saya hanya minum kopi dan makan roti bakar.

Rasanya kalau saya duduk di luar negara, memang badan akan kurus dengan cepat. Tidak perlu susah payah mahu senaman.

Si kakak mahu makan sate tapi saya kata jangan. Kalau makanan di Malaysia yang ada logo halal pun dikatakan ada DNA khinzir (tetapi kemudian kata JAKIM, halal pula...), apa lagi makanan yang langsung tiada logo!

Anak-anak sangat faham kecerewetan saya mengenai soal halal ini, termasuklah soal kebersihan. Saya tahan lapar. Bukan darurat lagi sampai kena makan benda-benda macam itu.

Macam yang saya kata, memang USS itu agak menarik tetapi saya tidak tahan dengan cuaca panas sebab ubat yang saya ambil sudah cukup panas. Orang pula terlalu ramai. Mahu masuk ke sesuatu tempat permainan, kena beratur panjang. Kepanasan itu menjadikan saya letih. Kalau orang normal dua kali letih, saya mungkin tiga empat kali letih.

Kami menghabiskan 155 SGD (RM 400) untuk membeli cenderamata. Budak-budak itulah yang membeli untuk diri mereka. Saya hanya membeli sekaki payung berwarna putih.

Esoknya kami bergerak pulang dengan sekali lagi adik yang memandu Nyanko Sensei. Di Machap, kami berhenti sarapan.

Membeli akhbar BH 1 Jun 2014, saya nampak ada sajak saya berjudul Negeriku Pun Berduka. Hanya sajak saya yang dihitamkan sebagai tanda perkabungan.

Petang itu kami berehat sebentar di rumah. Selepas Asar, bergerak ke UKM untuk mengambil pakaian, komputer riba dan Luna si hamster.

Maghrib di salah sebuah pusat bisnes di situ, kami kemudiannya ke sebuah kedai makanan Jepun halal yang diusahakan oleh orang Melayu. Sedap juga mee yang saya pesan.

Tiba-tiba ada seseorang yang sangat saya ingat “mercu tanda”nya iaitu tahi lalat di dagu yang manis.

“Yati...macam mana masih cam Yang?” tanya saya.

Dia memeluk saya. “Yang masih macam dulu. Tak berubah. Muka budak MGS mana ada berubah!” katanya.

Kali terakhir saya jumpa dia ialah sekitar tahun 1981, waktu kami di tingkatan tiga. Dia antara pelajar yang bagus, selepas SRP melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dan kemudian ke Australia. Dia sudah bertudung labuh, anak-anak lelakinya juga sudah dewasa.

Isnin pagi, adik bergerak awal ke Puncak Alam. Dia ada ujian bahasa Jepun pada jam sepuluh. Saya pula membawa si kakak balik ke UKM untuk menghantar tugasan, kemudian berpatah balik ke rumah. Kakak bercuti seminggu di rumah untuk study week.

Cuti sebulan dan berbagai-bagai acara yang saya mahu ikut. Cuti ini juga dua kali saya akan berulang ke HUKM. Harap-harap saya dapat bertahan.