Total Pageviews

Tuesday, June 3, 2014

Gelandangan Di Bumi Merdeka

Dahulu pernah terbaca ada lelaki di sebuah negara memiliki hampir lima puluh anak daripada beberapa isteri.

Agaknya ada nama anak yang dia lupa. Apa lagi untuk mengenal pasti kegemaran setiap anak itu.

Di Malaysia pula, ada orang yang hanya punya dua anak, pun masih sesekali keliru.

“Ibu, ini roti canai telur yang adik suka. Kakak suka yang kosong...”

Atau...

“Kakak yang suka makan masak lemak ikan masin. Bukan adik!”

Hoho...ibu yang sudah semakin tua atau masa telah mengubah selera?

Saya perasan sesuatu. Kakak sudah tidak suka durian dan baunya. Adik masih menjadi penggemar si raja buah itu. Kakak suka petai, ketam dan udang. Adik suka budu dan tempe. Anehnya anak-anak ini, semua makanan itu bukan juga kesukaan ibu.

Jadi, kebiasaannya mana-mana ibu pun tidak akan mengikut kemahuan seleranya sendiri. ibu-ibu akan masak apa yang anak suka.

Cuma sejak akhir-akhir ini saya selalu masak untuk anak yang salah apabila mereka pulang bercuti di rumah.

Untuk lebih selamat, ada satu makanan yang kedua-duanya suka. Makanan yang saya rajin masak sejak mereka masih kecil.

Cuma takkanlah asyik tomyam setiap hari. Lama-lama tekak pun jadi tekak Siam.

Saya masih membayangkan bapa yang ada anak lima puluh itu.

Agaknya dia hanya ingat nama anaknya yang sulung dan yang bongsu sahaja. Atau yang paling nakal antara semua.

Ini kisah lain pula tetapi masih cerita tentang anak.

Dan sekarang di media, gempar dengan kisah budak dua tahun yang dibunuh dan dipotong kepalanya oleh seorang penagih dadah kenalan ibunya.

Khabar yang lebih menyedihkan ialah budak itu dan ibunya merupakan gelandangan. Homeless. Ibunya mahu ke tandas dan meninggalkan anaknya itu sebentar kepada rakan-rakan lepaknya.

“Jadi, betul tindakan ibu membawa adik dan kakak masuk ke tandas waktu kakak adik kecil-kecil dahulu kan?” kata saya.

Anak-anak selalu mengadu terpaksa menahan diri sebab ibu turut membawa mereka masuk tandas kalau mahu membuang hajat. Gila mahu meninggalkan budak-budak sekecil itu di luar tandas?

Kalau dalam kereta api untuk pulang ke kampung, saya sanggup menahan diri sehingga sampai ke stesen. Tandas dalam kereta api sangat kecil, hanya muat untuk seorang sahaja. Dan saya tidak mempercayai sesiapa pun untuk menjaga anak saya di luar tandas!

Ada sesuatu yang menjentik hati saya mengenai kes ini.

Homeless!

Memang kita banyak gelandangan. Ada program NGO Dapur Jalanan dan beberapa NGO lain yang memberikan makanan kepada gelandangan-gelandangan ini.

Ada pro dan kontra juga.

Yang bagusnya ialah kita dapat mengurangkan kesukaran hidup mereka, melebarkan rasa simpati dan empati kepada warga yang merdeka tetapi tidak punya tempat tinggal.

Yang kurang bagusnya ialah menyebabkan ada dalam kalangan mereka ini yang langsung malas berusaha, mengharapkan seratus peratus simpati orang ramai.

Maksudnya, kita hanya memberi ikan tetapi bukan joran dan mata kail.

Cuma saya rasa, kalau kita tidak langsung boleh membantu, jangan kita memberi komen yang melukakan NGO yang banyak mengorbankan wang dan tenaga.

Budak itu telah diambil Allah. Dia hidup tiada rumah di dunia, biarlah dia diberikan rumah di sana. Pihak yang di atas perlu melihat dengan sejelas-jelasnya permasalahan gelandangan ini. Jangan kita sibuk bermegah mahu menjadi negara maju, tetapi masih ramai yang terpinggir dan mengakhiri hayat mereka dalam keadaan yang tidak sepatutnya.