Total Pageviews

Sunday, June 1, 2014

Jangan Tolong

Di sekatan imigresen, pemandu bas berbangsa India dan berbadan gempal itu memberi peringatan.

“Kalau ada orang minta tolong bawa barang, jangan bawa. Kalau ada orang tua yang minta tolong papah pun, jangan bantu...”

OK, di sini nilai murni tiada dalam kamus. Silap-silap kita jadi penghuni sel disebabkan membantu orang-orang yang mengedar bahan terlarang.

Keldai dadah? Kenapa keldai dan bukan binatang lain? Adakah disebabkan keldai dikategorikan sebagai binatang tolol yang ditugaskan membawa beban?

Di sekatan-sekatan imigresen ini kita dapat melihat bagaimana manusia menjadi enau dalam belukar yang sentiasa berusaha untuk melepaskan pucuk masing-masing.

Masuk ke “kota tanpa gula-gula getah” yang juga dikatakan sangat bersih itu, ada sesuatu yang menarik minat saya. Di tepi jalan masih ada sampah yang bertaburan. Kesesakan di mana-mana sama seperti kota-kota di negara kita. Cuaca panas dan sesekali hujan.

Untuk orang-orang seusia saya dan sedikit sentimental, tempat seperti Singapore Universal Studio bukanlah tempat yang serasi dengan jiwa. Sebenarnya taman-teman tema seperti itu banyak terdapat di negara kita. Cuma bezanya ialah USS menawarkan tarikan watak-watak terbitan Universal Studio yang sangat dekat dengan kita sebagai penyantap hidangan filem-filem mereka.

Barangkali amat lain rasanya kalau saya ke bekas tinggalan Studio Jalan Ampas, lokasi awal yang turut mewarnai dunia perfileman negara.

Anak-anak saya yang sudah dewasa hanya gemar mengambil foto. Jika mahu dikatakan sedikit mencabar ialah apabila jantung seakan mahu tercabut naik roller-coaster dalam gelap gelita. Yang membuatkan gelap gelita ialah sebab saya memejamkan mata sepanjang naik permainan yang gila-gila seperti itu.

Huh! Jangan ajak saya naik benda itu lagi...

Memang sangat penat.

Penat yang berlarutan sehingga menjejakkan kaki ke negeri yang sembilan.

No comments: