Total Pageviews

Sunday, May 4, 2014

Mengenang Ayah

Apabila usia semakin tua, kita akan selalu mengenang masa lalu dengan dua watak utama yang telah mengorbankan seluruh kegembiraan mereka untuk kita.

Ayah ada pinggan dan gelas yang khas. Seperti ada undang-undang, bahawa tiada sesiapa pun yang boleh menggunakan pinggan dan gelas ayah itu. Tiada siapa pun melarangnya tetapi ia menjadi protokol yang tidak bertulis.

Semua anak akan tahu menyusun pinggan dan gelas ayah termasuk di mana kedudukan ayah. Kami bersila di atas lantai dengan hamparan tikar mengkuang. Makan dengan cara Melayu kampungan. Kami menunggu ayah menyelesaikan solat atau bacaan Quran atau apa sahaja aktiviti ayah, tiada yang boleh menjamah makanan selagi ayah belum memulakannya.

Biasanya pinggan ayah licin bersih. Sisa-sisa ikan akan dikumpul kemas. Tiada sebutir nasi pun yang tinggal atau tumpah. Selepas makan ayah akan menghisap rokok (ayah penghisap rokok tegar). Mujur sahaja menjelang beberapa tahun sebelum keberangkatan ayah, beliau sudah berhenti merokok dengan segala susah payah. Nampak jelas sihatnya ayah. Badannya yang memang tegap, tidak menampakkan beliau terpaksa menanggung kesakitan hampir enam puluh peratus hayatnya.

Begitulah ayah yang pendiam ditemukan jodohnya secara tradisi lalu menikahi emak yang peramah. Ayah yang sedikit bersahaja dengan emak yang tangkas. Ayah yang berjimat cermat dengan emak yang sedikit boros dan suka memberi. Ayah yang tinggi dan berkulit gelap dengan mak yang rendah dan berkulit cerah. Ayah yang datangnya dari keluarga ada-ada dengan mak yang memang miskin papa. Ayah yang biasanya mendepani masalah dengan pergantungan kepada mak ayahnya dengan emak yang berani melangsungkan hidup tanpa gentar dengan ujian.

Banyaknya perbezaan seperti langit dan bumi, tetapi keberkatan jodoh atas pilihan ibu bapa menjadikan pernikahan mak dan ayah kekal sehinggalah ajal memisahkan kedua-duanya. Saya tahu ada saat turun naik, ada musim panas dan hujan, juga jerkahan petir yang menguji pelayaran bahtera kehidupan mereka. Tetapi sekali lagi, apabila ada keberkatan hasil doa ibu bapa, mereka berjaya menempuh jatuh bangun kehidupan bersama-sama sehingga berjaya melahirkan enam zuriat yang hidup, tidak termasuk anak-anak yang telah meninggal dunia.

Ayah telah lama berangkat ke negeri abadi, menemui Dia yang menghidup dan mematikan, juga yang menguasai hari pembalasan. Emak yang sunyi menghabiskan sisa hidup tanpa suami di sisi. Entah bagaimana mahu mentafsir sunyi emak. Hanya Allah yang tahu.

Dalam usia yang memanjat takah demi takah, kita tidak tahu entah bila kita masih boleh memandang wajah mak dan ayah kita. Betapa banyak tampalan dan parut luka di hati mereka akibat sikap, tingkah dan kata-kata kita. Dalam perjalanan kita menuju dewasa, mereka tetap sabar menghadapi kerenah demi kerenah, merasa terluka tetapi kemudian terlupa. Mereka tidak mengingati lagi segala perbuatan kita yang lalu. Demikianlah cinta tanpa syarat dan sebab.

Mari kita memohon usai solat agar segala pengorbanan mereka menjadi pahala yang berpanjangan buat kedua-duanya. Bacakan Al-Fatihah buat ibu bapa kita tidak kira mereka masih ada atau sudah tiada.

Jangan sampai apabila kedua-duanya sudah berangkat pulang, kekesalan tidak lagi memberi makna.