Total Pageviews

Thursday, April 10, 2014

Sibuknya Musim

Minggu-minggu yang sibuk.

Bagaimana mahu tahu musim-musim sibuk itu? Mudah sahaja.

Yang pertama, parkir terlalu banyak kosong. Kedua, majlis bacaan Yasin dan tazkirah Jumaat yang menjadi rutin pagi Jumaat juga banyak kerusi daripada orang. Ketiga, muka masing-masing seperti kalendar yang dipenuhi bulatan dan garis pen merah, mencatat jadual itu dan ini.

Rakan-rakan pensyarah saya memang sibuk. Saya yang diberi banyak kelonggaran pun masih terasa sibuk sebab terpaksa berkongsi dengan kepenatan. Balik ke rumah, tiada apa yang boleh dilakukan kecuali yang wajib. Tidur tatkala kepala bertemu bantal. Tidak sempat untuk bermimpi apa-apa.

Ini musim keluar menyelia ke sekolah-sekolah. Musim peperiksaan juga untuk siswa-siswi guru program pensiswazahan guru. Musim menanda kerja kursus. Minggu moderasi. Juga lawatan penanda aras Jabatan Pengajian Melayu ke Besut. Disambut pula dengan seminar pemikiran Mahaya Yassin. Dan perhimpunan budaya. Saya terlibat dalam persembahan untuk dua yang terakhir itu.

Kami telah bermesyuarat dengan Puan Mahaya yang sempat bertanyakan adakah adik akan turut hadir dalam seminar. Kebetulan adik cuti pertengahan semester seminggu, sempat mengekori saya ke Besut (dan Pulau Perhentian) juga mengikuti seminar. Adik juga ahli PEN (antara yang termuda barangkali).

Kakak tidak dapat ikut sebab cutinya habis hujung minggu ini. Dia ada di rumah menghabiskan waktu dan sesekali membantu mengosongkan dompet ibunya juga. Anak perempuan, begitulah. Beg tangan, kasut baharu, blaus, skirt, tudung...tetapi Alhamdulillah, hati saya lebih tenang dan tenteram jika anak ada di rumah. Penat pun tidak mengapa.

Saya teringat waktu membawa adik dan kawan-kawannya mengikuti mesyuarat sebuah persatuan penulis tertua di Malaysia. Majoriti ahli adalah penulis veteran. Kawan adik terperanjat-terperanjat tatkala disapa “Hai anak muda yang tak bernama. Tuliskan nama kejantananmu di atas kertas ini!”.

Kemudian kawan adik bertanya, “mengapa macam itu, ibu? Lucunya...”

Saya beritahu kawan-kawan adik, “cuba lihat di dinding FB ibu. Lihat bahasa yang mereka gunakan. Juga sistem panggilan. Mereka membahasakan diri sebagai hamba dan rakan bicara sebagai anakanda, dinda, kanda, bonda dan sebagainya”.

Bahasa jiwa bangsa. Itu yang selalu ditulis oleh oleh seorang penulis berketurunan Tionghua setiap kali mencatat di FB. Itulah bezanya antara orang yang menjiwai bahasa dan sastera dengan orang yang tidak.

“Ibu buat begitu?”

“Tidak. Hehehe...”

Barangkali saya tidak termasuk dalam golongan yang sangat menjiwai sastera, bahasa dan budaya.

Beberapa hari lalu, saya menyelia dua siswi guru di sebuah sekolah Cina. Saya dapat bayangkan kesukaran mereka apabila mengajar murid yang bahasa Melayunya menjadi bahasa ketiga selepas bahasa ibunda dan bahasa Inggeris. Satu hal yang menerjah minda saya ialah, berapa tahun kita sudah merdeka? Apakah faktor yang menggagalkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat? Pincangkan sistem pendidikan kita? Di manakah silapnya?

Secara peribadi saya tahu di mana silapnya. Tetapi saya tidak boleh menulis di sini atas sebab-sebab yang kita sendiri maklum.

Musim sibuk ini bagus untuk menguruskan badan bagi yang tumbesaran badannya asyik meningkat.

Bagi saya pula, denyutan di bahu dan tangan kanan semakin menjadi-jadi.

Adakalanya sampai terlupa makan ubat.

Kehidupan memang begitu. Seperti rahsia laut juga. Kadang-kadang nampak tenang di muka air tetapi ada tsunami besar sedang melanda di dasar. Adakalanya ombaknya di permukaan langsung tidak memberi ruang kepada kapal untuk duduk diam meskipun sesaat.

Kehidupan yang seperti ombak ini lumrah biasa buat manusia seperti kita.

Kita yang tidak memiliki sebarang kepunyaan, yang sentiasa dalam belas kasihan Allah SWT. Jika tidak, sudah pasti Allah menurunkan bala berpanjangan buat kita yang sering menderhaka.

Kata laut, “wahai Allah, izinkanlah aku menelan manusia sebab aku sudah tidak tahan dengan mereka. Mereka telah Kau berikan nikmat yang sebanyak-banyaknya tetapi mereka tetap menderhakai Engkau...” begitu juga rayuan bumi dan langit kepada Allah. Tetapi Allah Yang Maha Pengasih menjawab, “biarkanlah mereka sehingga sampai saat dan ketika...

Ya Rabb, ampunilah kami. Ampunilah kami.