Total Pageviews

Tuesday, April 15, 2014

Dari Raja Ke Sultan


Si bongsu saya sedang terapung mengintai sarang nemo

Jam tujuh kami bergerak untuk lawatan profesionalisme Jabatan Pengajian Melayu IPGKRM ke IPG Kampus Sultan Mizan. Lawatan kolaborasi dan matlamat akhirnya nanti ialah menghasilkan sebuah antologi puisi.

Perjalanan panjang. Sekitar jam lima setengah kami tiba di Kompleks Belia Besut. Ada beberapa orang pensyarah yang sudah menunggu.

Kami duduk bertiga sebilik. Udara hangat. Kami berjalan kaki ke pasar petang yang jauhnya boleh tahan. Tetapi dengan gelagat rakan-rakan menyebabkan kepenatan itu menjadi berkurangan. Kaki sangat sakit. Tetapi melihat kemurahan harga barangan menjadikan kesakitan itu dilupai buat seketika.

Usai solat, kami ke IPGKSM. Subhanallah. Apa lagi yang dapat diungkapkan selain rasa kagum dengan sambutan baik yang kami terima. Mereka cuma ada seorang pensyarah perempuan yang terpaksa ke KL atas urusan kerja. Kemudian pelajar major BM pula hanya satu unit dan sekarang guru-guru pelatih itu sedang menjalani praktikum. Yang saya kagum itu ialah hidangan yang mereka sediakan. Pensyarah lelaki dan guru-guru pelatih yang sedang menjalani praktikum di sekolah sanggup bersusah payah memasak sendiri hidangan yang sangat enak untuk menyambut kedatangan kami. Itulah budaya bekwoh yang menunjukkan keperibadian luhur masyarakat Pantai Timur.

Ada persembahan lagu nasyid dan dikir barat. Ada juga ceramah penulisan puisi oleh rakan saya, Tuan Haji Abd Hadi Yusoff. Beliau pernah mendeklamasikan sajak saya Taman Merdeka ketika mewakili Kelantan dalam Sayembara Deklamasi Puisi peringkat kebangsaan di JB dan berjaya menjadi naib johan.

“Eh, Ratna Laila Shahidan,” katanya terperanjat, tidak menyangka yang saya turut berada dalam rombongan. Beliau dijemput dari KB untuk tujuan memberi panduan penulisan puisi.

Hmm...bukan Shahidan, tuan haji. Nama ayah saya Shahidin! Kesilapan biasa. Entah di mana silapnya sejak dahulu, sentiasa sahaja nama ayah dieja dan disebut salah.

Acara selesai agak lewat. Kemudian kami ke sebuah gerai yang menyediakan makanan istimewa mee segera ketam. Oleh sebab sudah kenyang, kami berkongsi dua orang semangkuk.

Entah jam berapa kami tertidur. Tetapi saya kira jika lena pun hanyalah sekitar dua ke tiga jam sebab keesokan hari kami perlu bangun awal untuk ke Pulau Perhentian bersama para pensyarah JPM IPGKSM.

Teruja sungguh menaiki bot laju. Kami sedang menuju ke taman laut antara yang tercantik di dunia.

Saya, si bongsu dan Dr Wan Zaliha berkongsi chalet. Jam dua petang, kami bersedia untuk aktiviti snorkelling di tiga kawasan. Tempat pertama ialah di Romantic Beach. Rupa-rupanya itu hanyalah aktiviti membiasakan diri dengan air dan google. Saya nampak banyak sekali gamat. Saya mengambilnya satu sekadar untuk merasai tubuh haiwan tersebut. Kemudian saya melepaskannya semula ke dasar.

Kemudian kami ke kawasan yang menjadi sarang clown fish, si Nemo. Di situ lebih dalam meskipun dari atas, nampak semua yang ada di bawah laut. Seperti kelihatan sangat dekat. Sarang nemo berwarna ungu. Cantik sekali.

Kawasan ketiga lebih dalam. Di situ, ketika saya makan pisang goreng, habuknya menyebabkan ikan-ikan datang dan mengelilingi kami di situ. Saya dapat merasakan gigitan kecil makhluk itu. Memang comel sekali. Seorang kawan menangkap nemo yang comel dan kemudian melepaskan semula ke laut.

Jam sudah hampir tujuh malam. Seorang rakan sudah muntah akibat mabuk laut. Kami berpindah bot sebab rakan yang mabuk itu perlu dihantar pulang ke chalet untuk berehat. Keputusan dibuat untuk meneruskan acara mencandat sotong. Kami berenam dengan dua pengendali bot (lima perempuan, satu lelaki dan dua pengendali bot) berada di bot nelayan dan sekumpulan pensyarah lelaki di bot laju yang lebih kecil.

Bot meluru ke tengah laut. Semakin lama semakin jauh. Laut tidak pernah diam. Geloranya sangat kuat sehingga olengan seperti tidak dapat dikawal. Di pertengahan laut, pengemudi meminta kami bergerak ke belakang sebab kondisi bot menjadi tidak seimbang. Saya dan si adik duduk di bahagian paling belakang berhampiran enjin. Rakan pensyarah yang sangat bersemangat pada mulanya, kepucatan.

Ini Laut China Selatan, kata si pengemudi. Masya-ALLAH, rupa-rupanya inilah lautan sebenar tempat permainan para nelayan.

“Selepas ini, kita jangan merungut kalau sotong mahal. Lihat bagaimana sukarnya nelayan mencandat sotong. Mereka menyabung nyawa untuk mencari rezeki...” kata saya.

Memang agak menakutkan suasana ketika itu. Malam gelap yang hanya bertemankan bulan, air laut hanyalah hitam pekat warnanya dengan terpaan ombak yang sangat kuat.

Mujur adik kelihatan selamba. “Ingat kata opah. Jangan takut dengan apa yang ada di dunia sebab di akhirat esok macam-macam lagi yang ada!”

Menanam keberanian adalah warisan. Tok perempuan saya mewariskannya kepada mak. Mak menurunkan keberanian kepada saya. Dan saya perlu meneruskan kesinambungan itu kepada anak-anak gadis saya.

Kami di bot tidak menelan pil mabuk. Pensyarah lelaki di bot lagi satu semuanya telah mengambil pil. Kami melihat dengan kasihan bercampur lucu akan keadaan rakan yang kecut perut itu. Dia benar-benar ketakutan dan saya memahaminya. Kita baru sahaja mengalami kejadian MH370 dan itulah sebenarnya yang mengacau minda beliau, jika malam itu...

Ironinya, saya dan adik berasa mengantuk. Olengan kuat bot menjadi seperti buaian yang kadang-kadang menyebabkan kantuk, kadang-kadang menyebabkan ngilu juga. Di tengah laut itu sukar untuk tidur sebab ombak akan mengangkat tinggi bot dan menghempaskannya semula ke muka laut. Adakalanya seperti mahu terbalik.

Kami gagal memperoleh sotong. Kemudian kami bergerak ke kawasan yang lebih tenang sedikit. Saya dan adik sampai terlena sebentar.

“Hebat Kak Yang dan adik!” kata seorang pensyarah lelaki.

Alhamdulillah. Mereka tidak sangka orang sakit seperti saya mampu berdepan dengan situasi dahsyat itu.

Dalam hati saya berkata, “memang gelombang itu sangat kuat. Tetapi saya telah berdepan dengan gelombang yang lebih dahsyat daripada itu sepanjang kehidupan saya, khususnya ketika belasan tahun membesarkan anak-anak sendirian, juga ketika menghadapi ujian penyakit...”

Melihat penduduk pulau yang kesemuanya mempunyai kulit yang terbakar dengan matahari, saya berasa mereka sangat hebat. Guru-guru di satu-satunya sekolah kebangsaan di situ dengan kekuatan seratus kurang lebih murid, juga memiliki kekentalan semangat yang bukan sedikit.

Banyak yang mahu saya tulis mengenai lawatan ke IPGKSM dan pengalaman di Pulau Perhentian. Perjalanan mencari pengalaman dari Raja Melewar ke Sultan Mizan!

Cerita-cerita yang saya kutip daripada pengemudi bot di situ sangat memotivasi diri.

Saya merenung laut yang luas, yang entah di mana penghujungnya. Di laut, bumbungnya adalah langit dengan bintang dan bulan sebagai lampu. Hamparan laut tidak pernah sedetik pun diam. Semakin jauh ke laut lepas, semakin ganas dia menjerkah.

Maha Suci Allah. Saya melihat kekuasaan-Nya menggerakkan ombak, sebarisan demi sebarisan.

Menelefon mak sebelum itu, mak menyebut, "jangan pergilah Yang. Bahaya!"

Ketika itu saya tahu bahawa mak sedang diusik dengan kebimbangan seorang ibu, seperti yang biasa juga saya alami. Tetapi kemudian saya mengingatkan, "mak, bukankah mak yang ajar Yang supaya selalu berani? Mak tak ingat?"

Nada mak berubah ketika mendengar kata-kata saya, "Ya ya ya...mak lupa!" dan mak ketawa seperti berasa lega.

Dan bangga tentunya!

Pengalaman di laut luas menyebabkan saya mahu mencipta bidalan baharu.

Jika takut bermain ombak, jangan berani mencandat sotong!

No comments: