Total Pageviews

Saturday, April 5, 2014

Ada Dan Tiada

Saya mengambil budak-budak itu di stesen KTM Seremban. Ada empat orang semuanya. Siswi UPM yang memilih saya sebagai bahan kajian untuk tugasan. Pensyarahnya ialah Dr Shamsuddin Othman, saya kenal dia walaupun tidak biasa bercakap-cakap.

Beberapa tahun lalu ada seorang siswi UPM juga yang mencari saya di maya. Pensyarahnya meminta dia menulis tentang saya, khususnya sajak yang menang dan dijadikan bahan teks SPM itu. Kasihan dia. Saya tiada FB waktu itu, blog pun tidak begitu aktif. Entah bagaimana, kebetulan saya menaip di Google nama saya sendiri dan terjumpa siswi itu menulis di blognya, mohon bantuan sesiapa yang mengenali saya.

Begitulah keajaiban internet di samping seribu satu keburukannya.

Sebenarnya mereka boleh sahaja mendapatkan maklumat, biar pun kurang lengkap, daripada internet. Tetapi pensyarah mahu mereka mengambil foto penulis yang sedang diwawancara sebagai bahan bukti. Mereka adalah bakal guru sastera di sekolah. Bagus juga mereka mengenali sastera dan masyarakatnya supaya mereka benar-benar dapat menghayati dan mengajar sastera dengan baik.

Sastera selalu berada dalam kasta yang rendah, atau sangat rendah. Itu juga yang dikeluhkan budak-budak itu. Zaman SRP dahulu, budak-budak sastera bukan terdiri daripada mereka yang kurang cerdik. SRP menyaring pelajar untuk naik ke tingkatan empat. Jika gagal, mesti mengulang. Maknanya, pelajar menjadi tua di sekolah.

Saya beritahu mereka, sejak zaman saya bersekolah menengah dahulu pun, memang begitulah tanggapan masyarakat sama ada para gurunya atau ibu bapa. Di Malaysia, pelajar hanya akan menyerlah setelah mereka memasuki universiti. Sistem pendidikan di sekolah kurang membantu sebahagian pelajar yang sebenarnya cemerlang dalam beberapa bidang termasuklah sastera.

Guru-guru yang mengajar sastera kadang-kadang tidak kenal pun siapa Usman Awang. Malahan ada yang ingat Kemala itu perempuan!

Setelah mewawancara saya, mereka ke Rumah PENA. Beberapa hari sebelum itu saya menghubungi Saudara Zainal Abas meminta persetujuan untuk budak-budak ini menemubual. Beliau setuju dan saya memberikan nombor telefon beliau kepada budak-budak itu.

Saya melihat budak-budak perempuan itu seperti anak-anak saya. Risau akan keselamatan mereka yang masih di Rumah PENA sedangkan waktu sudah malam.

“Kami sudah selamat tiba di kampus, puan” Aina mengirim mesej. Saya melihat jam. Dalam pukul sepuluh malam begitu. Alhamdulillah.

Esoknya, saya, adik dan dua kawannya menuju ke utara. Sampai di rumah, saya nampak mak sedang bekerja di halaman. Masuk ke rumah abang, rupa-rupanya dia sedang melukis di dinding kamar kecil anak bongsunya. Lukisan MH370 yang sedang melayah di udara, dengan beberapa pesawat yang kelihatannya seperti pesawat perang. Ada juga bangunan-bangunan tinggi kota Kuala Lumpur.

Cantik, bisik hati saya, tidak mahu mengganggu abang yang tekun melakar dan mewarna. Hmm...abang, anak-anak saudara lelaki dan perempuan, anak dan suami saya pandai melukis sama ada potret, landskap atau komik. Mengapa saya langsung tidak pandai?

Allah Maha Adil. Dia memberikan kita sebahagian yang orang lain tidak ada. Dia juga memberikan orang lain sebahagian lagi yang kita tidak ada.

Alhamdulillah.