Total Pageviews

Monday, April 21, 2014

Pemadam Itu Kita

Oleh sebab saya tahu ada tetamu yang setia mengunjungi beranda ibu bunga matahari, saya cuba juga untuk menulis meskipun rasanya dua puluh empat jam itu tidak cukup untuk dikongsikan bersama tugas, tanggungjawab dan keletihan.

Tentunya saya masih muda. Empat puluh delapan dan tiga puluh dua hari mengikut kiraan masihi. Tetapi keletihan yang sedang cuba ditentang habis-habisan ini kadangkala menyebabkan saya tewas, meskipun bukan di mata orang banyak.

Adalah sesuatu yang aneh apabila saya mahu berkhalwat untuk beberapa waktu. Saya mahu mencari diri, mengkoreksi segala kesilapan, menghabiskan separuh tugasan menulis buku akademik, mengasingkan diri daripada kebisingan manusia.

Namun, saya masih mencuri-curi untuk membaca di maya secara imbasan. Dan seperti biasa, ada sesuatu yang memagnetkan deria mata.

Membaca sesuatu berkaitan pensel dan pemadam menyebabkan saya insaf sendiri.

Keletihan ibu bapa akan segera hilang ketika berhadapan dengan anak.

Sedemikian banyak yang dilakukan oleh ibu bapa demi membetulkan kesilapan anak. Mereka mengorbankan diri sendiri demi “membetulkan” kesilapan seperti getah pemadam itu.

Tujuannya mudah iaitu demi kasih sayang. Tidak mengapalah menjadi pemadam yang semakin hari semakin mengecil sebab berterusan memadamkan kesilapan. Dan akhirnya pemadam itu akan hilang lenyap meninggalkan sisa-sisa. Menjadi tua dan barangkali dilupakan.

Ibu bapa kita itulah yang selalu menjadi pemadam. Cuba ingatkan semula berapa banyak ketelanjuran yang telah kita lakukan sepanjang hidup. Ibu bapa akan menegur, mengambil tangan kita dan memimpin ke jalan selamat. Kita ulang semula kesilapan dan mereka akan kembali ke sisi kita. Begitulah kitaran yang berlaku.

Kasih sayang mereka tiada syarat.

Sebab itulah mereka menjadi pemadam yang terus memadam.

Dan kita akhirnya berada di tempat yang kita ada sekarang.

Tetapi di mana mereka ketika ini?

Kita telah menjadi ibu bapa. Kita telah menjadi pemadam.

Dan suatu hari nanti anak-anak kita pula akan menjadi pemadam kepada pensil-pensil mereka.

No comments: