Total Pageviews

Thursday, April 24, 2014

Leteran Atuk Adudu

Dari institut ke sekolah jenis kebangsaan cina itu sekitar tujuh kilometer. Saya bergerak ke pejabat awal pagi, mencatat di buku penyeliaan praktikum dan keluar semula ke sekolah.

Memang biasa kalau Atuk Adudu itu berleter. Sebentar sahaja dan selepas itu dia akan diam. Biasanya sebab saya tidak suka memakai tali pinggang. Tetapi anehnya sepanjang perjalanan tujuh kilometer, dia masih berleter. Saya memakai tali pinggang keledar, membuka pintu pemandu dan menutupnya semula.

Eh, anehnya. Dia masih berleter. Sudah nyanyuk agaknya, maklumlah Atuk Adudu sudah tua. Biarkanlah sahaja. Saya sampai di sekolah dan cepat menuju ke kelas guru pelatih yang akan diselia.

Seronok melihat perubahan-perubahan yang berlaku sepanjang penyeliaan. Set induksi, langkah pengajaran, kekreatifan guru pelatih, perubahan tingkah laku murid; semuanya memberikan saya kelegaan. Subuh itu saya berdoa agar dipermudahkan segala tugasan yang saya dan guru pelatih akan lakukan. Alhamdulillah.

Balik semula ke institut, Atuk Adudu masih bising. Entah apa kenanya dia. Di parkir pensyarah, barulah saya terkesan. Rupa-rupanya, saya yang bersalah. Pintu belakang tidak rapat ditutup. Patutlah dia berleter panjang.

Maafkan saya, Atuk Adudu. Walaupun sudah tua, tetapi dia tetap peka dengan apa yang berlaku kepada tubuhnya.