Total Pageviews

Sunday, April 20, 2014

Lelaki dan Tong Gas

“Tahu jawapan kepada teka-teki ini? Sebelumnya, orang berlumba-lumba mahu masuk tetapi selepas memasukinya, orang berlumba-lumba untuk keluar pula. Apakah itu?”

Teringat kisah di kampung lama dahulu. Seorang perempuan yang nampak lebih tua daripada usia, yang terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara anak-anak. Kadang-kadang saya mendengar keluhan yang diadukan kepada emak. Bukan mahu mengaibkan suaminya tetapi dia hanya manusia biasa. Orang akan segera menjatuh hukum jika perempuan seperti ini mengeluarkan segala isi hati. Tetapi orang jarang melihat impaknya jika dibiarkan segala benda membengkak di dalam jiwa.

Malahan orang jarang juga melihat puncanya, yakni lelaki!

Anak-anaknya separuh ada yang berjaya dan sudah tentu yang perempuan-perempuan. Laki-laki? Macam biasa, kalau tidak menumpang si emak, duduk melahu minum air ketum. Mewarisi perangai lazim lelaki.

Dia lambang perempuan yang gigih, dan kegigihan sang perempuan bukanlah sesuatu yang hebat sebab memang sudah demikian sifatnya perempuan. Setelah bertahun-tahun menderita, dia dilepaskan setelah digantung tidak bertali sebegitu lama.

Saya teringat kelegaannya, “orang mahu bantu dahulu pun susah. Aku ada suami. Bagaimana pejabat kebajikan mahu bantu anak-anak yang ramai itu kalau suami aku sihat sejahtera. Hidup jadi susah kerana itu. Sekarang, Alhamdulillah. Aku sudah terlepas dari penjara...”

Rumahtangga sudah menjadi seperti penjara buatnya. Dan dia terus gembira melakukan sebarang kerja demi anak-anak tanpa perlu menanggung beban perasaan lagi.

Dia sudah terlepas daripada dosa mengumpat suami sama ada yang terucap atau yang disimpan dalam hati, sebab dia sudah bergelar ibu tunggal. Langkahnya menjadi lebih mudah. Anak-anak tidak lagi berasa malu dengan stigma massa bahawa ibunya menjadi penggendong biawak hidup.

Saya melihat fenomena lumrah bahawa lelaki semakin melupai tugas dan tanggungjawab mereka. Di mana-mana, di desa atau di kota; majoriti lelaki serupa. Mengambil kesempatan? Ya.

Anak-anak gadis saya akan jadi suri juga nantinya. Entah bagaimana bakal suami mereka nanti, apakah mewarisi perangai lelaki atau menjadi lelaki luar biasa?

Maaf jika tulisan kali ini berbau feminisme.

Saya bukan anti lelaki. Ayah, abang, adik-adik dan suami saya lelaki.

Kalau tiada lelaki, sukar juga mahu memikul tong gas yang penuh berisi!

Itulah gunanya lelaki!

Sinikalnya?

Ya!