Total Pageviews

Saturday, April 26, 2014

Bertemu Seniman



Menjadi deklamator bukanlah antara kecenderungan saya. Sebab utamanya ialah saya jenis pemalu dan tidak gemar menonjol diri di hadapan umum.

Tetapi sesekali apabila bertemu seseorang yang berjiwa seni dan budaya, saya teruja juga.

Memang saya sangat meminati muzik, yang punya nilai estetika tentunya. Suka menikmati seni visual, lukisan dan gambar fotografi walaupun langsung tiada bakat.

Masuk ke studio mininya, saya berasa riang semacam. Seronoknya, hati saya berbisik. Lagi teruja tatkala dia menunjukkan lukisan landskap dan potret hasil lakaran tangan seninya. Di mana sahaja negara yang dia mengembara, pasti ada lakaran yang dibuat.

Memang cantik. Terlalu. Tetapi dia seperti saya, tidak gemar menonjol-nonjol ke hadapan. Kami berlatih beberapa kali supaya ada sinkronisasi antara alunan serulingnya dengan lontaran suara saya.

Pak Wan memang orang seni yang asli. Kami berbual banyak di belakang pentas sementara menunggu giliran membuat persembahan. Tentang Anak Alam, tentang rakan-rakan teater, dunia hipokrasi (yang orang seni pun ikut terlibat) dan sebagainya.

“Dinsman sudah tubuhkan PAKSI sekarang,” kata saya walaupun saya pasti Pak Wan tahu kegiatan baharu kawannya itu.

Saya sangat kecil jika dibandingkan dengan Pak Wan. Tetapi saya suka caranya sebab kelihatan bersamaan dengan prinsip saya. Di sini atau mana-mana organisasi yang saya bertugas, tidak banyak orang tahu apa kebolehan yang saya ada. Biasanya saya hanya duduk diam di pinggir, mendengar orang berkisah tentang kehebatan mereka, sambil menganyam rasa rendah diri.

“Nah, akhirnya saya bertemu dengan seseorang yang saya boleh bicara tentang seni yang segala macam!” kata saya. Dia kesukaan.

Waktu dia mula meniup seruling lagu Gurindam Jiwa, saya masih di balik tabir. Saya ingat janji kami, “masuk waktu Pak Wan dekat nak habis verse dua...”

Saya masuk ke hadapan pentas. Asalnya ada sedikit gerakan yang simbolik tetapi masalahnya tiang mikrofon itu tidak selaras dengan ketinggian. Maka, terpaksalah membatalkan gerakan tersebut sebab sibuk mahu selaraskan mikrofon.

Dan saya pun cuba menghayati alunan muzik Pak Wan. Memasukkan jiwa ke dalam bait-bait sajak yang akan saya deklamasikan. Itu asas penghayatan teater yang pernah saya pelajari dan kemudian saya ajarkan pula kepada ahli kelab drama dahulu. "Pak Wan bercakap dengan seruling dan you bercakap dengan diri".

Saya tahu suara saya akan menjadi “lain” apabila saya sudah naik “syeh”. Saya akan melupakan malu dan tumpuan mata audien yang menjunam ke pentas.

Alhamdulillah. Tiada masalah dengan lontaran suara, hafalan, dan keselarian muzik. Pak Wan membuat thumb up. “Cantik,” katanya.

Usai majlis, ada yang bergambar hehe...ada yang beritahu saya, “terkejutnya...tak sangka suara awak bagus!” ada juga yang kata, “meremang bulu roma saya”, atau “rasa macam nak menangis”...

Alhamdulillah, sebenarnya saya bukan bagus sangat pun. Saya hanya keluar sedikit daripada tempat persembunyian. Selepas itu saya akan berdiam semula. Saya berdoa selalu agar jangan membangga diri dengan pujian manusia. Ya, waktu kita bagus orang akan memuji tetapi awas, tersilap hanya satu, akan terlupa kebagusan seribu!

Mudah-mudahan akan selalu diingat bahawa...

Ketika dinobatkan menjadi guru
Dia pun menyarung wataknya seluruh hidup
Kepada muridnya dia menjelaskan yang kabur
Meluruskan yang bengkok
Dan mengulang yang terlupa...