Total Pageviews

Wednesday, April 2, 2014

Apokalips

Saya pernah mendengar perkataan ini daripada lirik lagu seniman M.Nasir.

Ada beberapa makna. Antaranya ialah mala petaka yang sangat dahsyat.

Saya mentafsirkan mala petaka yang amat dahsyat itu dalam dua keadaan. Yang kita sedar dan kurang sedar. Yang tiba-tiba datang dan yang menular perlahan-lahan.

Sepanjang kehidupan saya, ada beberapa kali negara dilanda mala petaka yang saya kira sangat dahsyat.

Tsunami yang melanda dunia sebelah sini sehingga mengorbankan berbilion manusia, suatu mala petaka di luar akal kita yang biasa. Banyak negara yang tidak bersedia dengan ancaman alam luar duga tersebut termasuklah negara kita.

Begitu juga dengan ranapnya Highland Tower yang membunuh para penghuni kondo mewah tersebut. Saya masih ingat, ia berlaku dalam tahun-tahun awal saya menjadi guru. Trak yang membawa mayat menyebarkan bau kurang enak sepanjang perjalanan pulang ke rumah dari sekolah di Setapak.

Kemudian ada beberapa kali runtuhan dan kemalangan. Banjir besar juga pernah berlaku.

Dan dua kali yang melibatkan pesawat. Satu terhempas dan tiada nyawa terselamat. Yang satu lagi masih misteri.

Itu apokalips yang kita nampak dengan jelas dan sangat melukakan.

Yang menular dan akhirnya menjadi budaya?

Yang mengheret kita, remaja dan dewasa ke lubang yang gelap hitam?

Kita terpaksa mengorbankan sesuatu untuk sesuatu yang lain.

Dan adakalanya kita jual agama dan maruah kita untuk meraih dunia.

No comments: