Total Pageviews

Wednesday, March 19, 2014

UTOPIA...

Melihat hujan yang jatuh menimpa aspal, adalah sesuatu yang sangat meriangkan.

Musim kering ini barangkali sudah tiba waktu pamitnya. Pokok-pokok sudah mula tersenyum. Dahaga yang berterusan telah mengeringkan daun. Daun-daun itu bersepahan di lantai bumi, menyebarkan pula debu-debu halus yang hinggap di kereta dan tingkap rumah.

Membayangkan negara tercinta ini melalui cuaca empat musim. Telah hilang musim panas yang menyambar kulit. Diekori rapat musim luruh, musim bunga dan musim dingin.

Sudah pasti orang-orang akan berhenti bercekcok tentang politik yang haru-biru sebab orang-orang sibuk dengan keanehan musim yang berganti. Maka aman damailah udara tanpa ada sentimen perkauman, fitnah, umpat keji dan segala macam kebejatan.

Masjid-masjid penuh dengan jemaah tanpa mengira waktu. Surau-surau juga begitu. Orang ramai sudah berpaling kepada agama kerana bimbang kiamat sudah dekat. Penganjur-penganjur konsert gulung tikar, atau beralih kepada konsert yang dipenuhi elemen ketuhanan. Pengedar-pengedar dadah juga kecewa dan akhirnya mereka sendiri yang mengambil bahan terlarang itu, langsung mati.

Anak-anak kembali menghargai orang tua mereka sebab mematuhi kata-kata nobody is clever than their parents. Kegemparan-kegemparan seperti perubahan musim itu, menyebabkan semuanya juga berubah tiga ratus enam puluh darjah. Murid menjadi patuh mengikuti peraturan sekolah. Guru mengajar dengan penuh komited. Akhbar-akhbar pun sudah berhenti memainkan isu fitnah.

Tiada sampah di jalanan. Tiada bayi yang dibuang. Tiada bomoh dan tikar terbang. Bubu pula kembali kepada fungsinya yang asal iaitu untuk menangkap ikan.

Orang bersopan santun di jalan raya. Polis trafik hanya duduk melihat dari bawah pokok sambil minum air cincau. Pencuri pun sudah tidak mahu mencuri. Pengawal keselamatan akhirnya tiada kerja dan pulang ke kampung menjadi petani.

Semua ini poyo!

Utopia!