Total Pageviews

Saturday, March 22, 2014

Manisnya Sabar

Awal pagi memasak makanan untuk dibawa ke Puncak Alam. Kemudian singgah di Bangi mengambil budak yang sulung. Sepanjang perjalanan, seronok betul dengan telatah bunga matahari yang sulung itu. Dia agak gusar dengan tesis yang belum ada kata putus, mahu buat kesusasteraan Inggeris sama seperti tesisnya saat diploma, universitinya tidak membenarkan. Pilihannya ialah terjemahan, hanya dia seorang yang mahu buat benda itu. Kawan-kawan yang lain tidak berani. Tidak mengapalah, kata saya. “Kakak ada pengalaman buat terjemahan di ITBM dulu, kan?”

Kalau dia stres, lain macam telatahnya sekarang ini. Walaupun sudah berubah menjadi lebih sabar dan tenang (dalam usianya dahulu, saya sudah punya anak seorang...dialah!); kadang-kadang “anak kecil” yang terkurung dalam dirinya terlepas juga. Semua benda yang saya cakap, dia akan jawab dengan nyanyian. Kalau sedap tak apa, lagu dan senikatanya sudah jadi macam Wonderpets!

Sampai di Puncak Alam agak lewat sebab kena singgah beli sate kajang pula. Tidak sampai hati saya apabila katanya dia kepingin sate kajang. Bunga matahari yang bongsu kurang sihat, asyik bersin sebab selesema. Selepas makan dan solat, menghantar kereta si adik ke bengkel. Paip pendingin hawanya bocor. Menurut Cina bengkel, bunyi kuat apabila kereta itu bergerak disebabkan mekanik yang sebelum ini memasang drive shaff dengan cara yang tidak betul. Hmmm...ini yang buat saya elergik dengan mekanik Melayu! Terpaksalah saya membayar lagi untuk pemasangan yang lain.

Pergi dan pulang, jalan sesak. Lengan kanan sudah rasa lain macam. Cuti pertengahan semester sekolah, barangkali itu sebab kesesakan berlaku.

Budak yang bongsu itu memberikan hadiah tiga komik dan satu buku Dr MAZA. Dia semacam tahu saya suka baca tulisan bekas mufti itu. Komiknya pula ialah Town Boy oleh Dato’ Lat (orang Kg Sg Rokam, Ipoh), Lawak Orang Malaysia oleh Nudin (orang Kg Sauk, Perak) dan Aku, Kau & Ibu oleh artis-artis Komik-M.

Saya mahu kongsikan apa yang sangat menarik hati saya dalam komik Aku, Kau & Ibu.

Ada satu watak ibu yang sedang menghadapi ajal itu berkata, “jadilah orang yang bersabar kerana tidak akan ada orang lagi yang bersabar ke atas kamu selain diri kamu”.

Maksudnya ialah, “orang yang paling bersabar dengan diri kita adalah ibu kita. Tidak akan kita temui lagi orang yang sesabar ibu kita. Malah pada saat kita tidak sabar dengan diri kita, ibu kita yang datang meminjamkan sabarnya. Kesabaran ibu kita itulah yang menjamin sabarnya Allah dengan kita. Pada ketika ibu sudah hilang sabar dengan anaknya, hilanglah redho ibu, maka hilanglah juga redho Allah”.

Demikianlah benarnya kata-kata itu. Meskipun dari sebuah komik, ia memberi peringatan dan pengajaran yang sangat berkesan.

Malam itu, dalam kepenatan, si adik mengirim mesej.

“Adik demam tapi mahu alihkan kereta di parkir. Entah bagaimana, terlanggar tembok sedikit...”

Sabaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaarrrr...

Kereta kita selalu mempunyai telepati apabila semakin dekat hari gaji!

Ya, gaji kita itu sudah ada pecahan rezeki untuk orang lain.

Tidak mengapa. Kereta boleh dibaiki. Alhamdulillah, bukan hati kita yang rosak.