Total Pageviews

Monday, March 17, 2014

Hirisan Duka

“Puan, maaf kalau pertanyaan saya berbau provokatif. Puan boleh buat pilihan untuk tidak menjawab kalau puan tidak suka. Saya mahu tanya, adakah Islam mengikhtiraf bomoh yang seperti di KLIA itu?”

Siswa lelaki bukan Muslim itu bertanya lantang. Saya tersenyum. Dalam senyuman itu, hati saya terhiris sebenarnya. Bukan sebab soalan siswa berusia dua puluh tahun itu. Bukan! Tetapi ada yang lebih daripada itu.

“Tidak!” Saya menjawab tegas.

“Islam tidak mengikhtiraf perilaku sedemikian. Walaupun kedengaran beliau menyebut Allah hu Akbar dan mengangkat tangan seperti berdoa, tetapi amalan itu seakan memperolokkan agama apabila dicampur aduk dengan perlakuan yang awak sendiri telah lihat...”

Beberapa orang mengangguk-angguk.

“Rawatan perbomohan atau sebarang kaedah perubatan alternatif, hatta perubatan moden sekali pun tidak salah tetapi mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh agama. Pengamal perubatan sama ada yang moden atau alternatif, tidak boleh bersikap angkuh dengan mendabik dada bahawa mereka memiliki magis dan kekuasaan melebihi kekuasaan Allah SWT. Itu yang menjadi kesalahan..”

Saya tidak pandai berhujah tentang agama. Sejujurnya pengetahuan agama saya terlalu cetek.

Ada beberapa hal lagi yang saya ulas. Tetapi kesimpulan yang saya buat ialah, perbuatan itu bukan sahaja memalukan Malaysia bahkan sebagai umat Islam, pasti berasa lebih malu.

“Bukan semua yang dilakukan oleh orang Melayu mengikut ajaran Islam,” kata saya. Saya tidak mahu mereka salah faham bahawa apa sahaja amalan adat atau upacara orang Melayu adalah daripada ajaran Islam. Saya memberitahu mereka Melayu ini sama sahaja seperti orang India, Cina, orang dari Amerika, Arab atau Sweden yang memiliki budaya hidup mereka sendiri tetapi memilih Islam sebagai agama anutan. Ada yang terus meninggalkan cara hidup mereka yang bertentangan dengan hukum agama, ada yang menjadikannya satu campurisation atau dalam tasawur dan kosmologi Melayu disebut sebagai sinkretisme.

Saya sudah cemuih dengan cerita bomoh bubu ini. Tetapi ia telah menjadi satira nasional dan internasional. Apabila pelajar bertanya, menjadi kewajipan untuk kita menjawab sebagus mungkin, apa lagi jika ia melibatkan soal agama.

Inilah beberapa contoh peringatan Allah kepada kita.

Tidak tahulah sama ada kita sudah mula sedar diri atau tidak.

Atau terus-terusan membukakan pintu untuk maksiat seluas-luasnya.