Total Pageviews

Wednesday, March 12, 2014

The Happy Ending Story...Hopefully!

Pagi ini saya menjadi Cindarella, ditemani Adik Faiz mencari sebelah kasut Sembonia yang tercicir sewaktu kejadian kereta yang kekeringan air. Suami menuang air yang banyak ke dalam tangki malam semalam. Waktu mahu membuka tangki, dia mengambil suratkhabar yang di atasnya ada kasut. Agaknya kasut itu tercampak ke luar kereta. Nasib baik jumpa di atas rumput. Nasib baik juga tidak penyek dilanggar kereta. Alhamdulillah.

Petang itu pula di Balai Islam.

Usai Zuhur, kami melangsungkan solat hajat untuk memohon agar musim kering ini segera disergah hujan dan juga agar dipermudahkan segala urusan berkaitan pencarian MH370 yang masih kekal misteri.

Jam 2.48 petang telefon berbunyi. Tertera di skrin “HUKM”. Hati saya bergetar sedikit. Suara Dr Sara di hujung talian.

“Pakar bermesyuarat sebentar tadi dan memutuskan untuk meminta puan melakukan ujian sekali lagi esok pagi. Tetapi saya sudah melihat hari itu dan saya rasa tiada apa-apa, cuma oleh sebab sejarah perubatan puan, pakar mahu kepastian tentang apa yang mereka lihat daripada gambar mamo dan ultrabunyi...”

Dr Sara berkali-kali memberitahu, “jangan risau. Jangan susah hati...” kemudian menyambung, “jika perlukan biopsi, we will do it by tomorrow as well. Tapi kami akan bincang dulu dengan puan sama ada puan bersedia untuk itu atau tidak”.

Waaaaaaaaaaaaaaaa......................maaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaak........

Sebenarnya saya sudah agak sebab sudah masuk tiga minggu ujian saringan dibuat tetapi apabila saya ke Klinik Surgeri pada hari Khamis dan Onkologi pada hari Isnin lepas, keputusan belum dihantar.

Mungkin betul tiada apa-apa. Pakar hanya mahu memastikan tompokan yang dilihat itu diambil gambarnya sekali lagi. Kalau mereka mahu biopsi, lakukanlah. Saya tiada masalah untuk menahan sakit asalkan tidak menyusahkan hati mak untuk kesekiannya lagi.

Dan saya teringat sesuatu...

Ada seorang lelaki yang terdampar di sebuah pulau tidak berpenghuni. Kapalnya karam dan hanya dia sahaja yang selamat. Setiap hari dia meninjau di kejauhan melihat jika ada kapal yang lalu tetapi hampa. Setelah beberapa lama, dia mengambil keputusan membina pondok kecil untuk melindungi dirinya daripada terik matahari dan hujan malam. Suatu hari dia masuk ke hutan untuk mencari makanan. Apabila pulang ke pondoknya, didapati pondoknya itu telah terbakar. Hanya tinggal kepulan asap naik ke langit. Dia berasa sangat kecewa.

“Kenapa mesti aku yang menerima dugaan yang bertimpa-timpa ini! Kenapa mesti aku dan bukan orang lain?” dia meratapi takdirnya.

Tiba-tiba dia ternampak sebuah kapal menuju ke pulau tersebut dan akhirnya dia diselamatkan. Kemudian dia bertanya kepada nakhoda kapal, “bagaimana tuan tahu yang saya ada di pulau itu?”

Nakhoda itu menjawab, “kami ternampak asap berkepul-kepul di udara dan kami tahu mesti ada seseorang yang terkandas di pulau yang tidak berpenghuni ...”

Pengajarannya ialah, sesuatu yang kita sangka buruk bagi kita barangkali menjadi sebaliknya. Jangan bersangka buruk dengan ujian Allah sebab di sebalik setiap ujian itu ada sesuatu yang dijanjikan Allah.

Cerita lelaki yang mengalami happy ending itu barangkali akan berlaku kepada kita. Dan saya juga.