Total Pageviews

Monday, March 10, 2014

Daripada Ribuan Perjalanan

Jam tujuh lebih sedikit, saya bawa adik makan roti canai. Saya menjangka jika dia bergerak jam delapan, sekitar jam sembilan empat puluh lima dia akan tiba di kampus. Kuliah bahasa Jepunnya bermula jam sepuluh.

Kedua-dua anak itu mengambil bahasa asing. Saya mensasarkan sekurang-kurangnya mereka memahami tiga bahasa seperti saya. Memahami ertinya bukan bertutur dengan fasih. Sekarang hanya dua sahaja yang mereka fasih, satu boleh membaca dan menulis sedikit-sedikit.

Saya menghantarnya dengan doa dan ribuan pesanan seperti biasa. Mudah-mudahan dia dan kenderaannya terpelihara, begitu juga dengan pengguna lebuh raya yang lain, cuaca cerah dan jalan lapang.

Saya bergerak ke stesen. Seperti yang dijangka, tren lama tiga gerabak muncul ketika saya selesai mengambil tiket. Dalam hati saya rasa agak mustahil untuk sempat menaiki tren disebabkan saya kena menyeberang ke platform sebelah. Berjalan menaiki dan menuruni tangga jejantas.

“Tak apa, kalau Allah mahu saya naik tren ini, ada rezeki saya...” kata saya dalam hati.

Sampai sahaja, pintu tren tertutup. Saya mahu melencong ke bangku ketika tiba-tiba pintu tren terbuka semula. Memang Allah mahu saya naik tren ini agaknya, fikir saya. Saya terus masuk di pintu pertama yakni koc yang bercampur lelaki wanita.

Hmmm...semua mata menyoroti saya yang bergerak terus ke hujung koc. Saya masih ingat dahulu ketika ada ahli parlimen yang mahu koc asing untuk wanita, ada suara-suara sumbang yang menyeranah saranan itu. Tetapi akhirnya kerajaan akur setelah beberapa lama. Barangkali melihat contoh-contoh yang dilaksanakan negara bukan Islam seperti Jepun.

Memang saya kurang selesa. Wajah-wajah asing dengan loghat berbeza menyebabkan tidak sukar meneka status kewarganegaraan mereka. Saya pula menjadi orang asing di situ. Mata mereka masih menyoroti saya atas bawah. Ini mak cik tua, kalau anak gadis?

Saya mengambil surah kecil dan membaca demi mengelakkan mata bertembung dengan pandangan mereka. Kemudian tren berhenti di stesen pertama. Lekas saya bangun dan menolak pintu berat dengan tangan yang masih sakit. Mencelah masuk ke koc perempuan di tengah-tengah.

Lega!

Di situ pun ada warga asing tetapi tidak mengapalah sebab perempuan. Wajah mereka pun beriak manis dan santun. Dua anak kecil, lelaki, bicara bahasa Melayu Indonesia. Anak kecil itu jelas wajah kecinaan tetapi barangkali sudah biasa berbahasa demikian dengan bibik yang menemani mereka dalam tren.

Bukan saya prejudis sebab mak ayah mendidik kami dengan menanamkan semangat persaudaraan sesama Islam dan solidariti dengan bangsa yang bukan Islam. Anak-anak angkat mak terdiri daripada orang pelbagai negara, sahabat-sahabat keluarga juga terdiri daripada bangsa berbeza. Saya masih ingat mak berkata, “orang Melayu kita pun jahat. Dengki. Mencuri. Bunuh orang! Allah sayang kita bukan sebab bangsa!”

Di hospital, sambil menunggu, saya melihat skrin televisyen yang masih memaparkan misteri kehilangan pesawat. Sana sini terdengar orang bercakap tentang hal itu dengan spekulasi dan konklusi. Di Farmasi Satelit, saya jumpa kawan “seradioterapi”, sudah kurus sedikit, nampak cengkungnya.

“Doktor tak nampak masa mamo. Mereka mahu saya buat lagi sekali awal Jun...” katanya. Saya teringat juga, laporan mamo saya yang belum siap-siap padahal sudah masuk tiga minggu.

Mengambil bekalan Mister T untuk stok tiga bulan, saya segera ke tempat teksi. Berbaris kami menanti sebab entah apa kenanya teksi langsung tiada. Tiba-tiba seorang perempuan India, muda sekitar 30-an dan berbadan gempal, berkain batik sahaja, memotong barisan. Pak Cik India di belakang saya menegurnya dalam bahasa Tamil, meminta dia ikut barisan. Pelik betul, dia buat muka kosong dan selamba saja meluru ke teksi tanpa mempedulikan teguran pak cik itu serta kami yang berbaris panjang. Hatinya mungkin diperbuat daripada batu.

Pak cik India itu sangat marah tetapi saya rasa dia seorang bekas guru sebab akhlaknya kelihatan persis guru.

“Negara kita sudah banyak orang jadi macam ini sekarang. Tak apa, kalau dia buat macam itu, nanti dia akan kena. Saya yakin dia akan kena benda buruk juga...” pak cik itu mengulang-ulang ayatnya.

Kemudian seorang lelaki Melayu buat perangai sama cuma dia pergi agak jauh dan menahan teksi. Kami serentak menggelengkan kepala. Teruk betul. Buat penat sahaja cikgu-cikgu mengajar pendidikan sivik (atau tatarakyat) dan menerapkan nilai-nilai murni di sekolah dahulu.

Saya melambai-lambai pak cik India yang baik hati itu. Mulanya saya mahu beri dia naik teksi dahulu tetapi badan saya sudah kepanasan. Cuaca terik amat. Pandangan berpinar-pinar. Pak cik itu pun suruh saya naik teksi, “nasib awak baik...itu teksi sudah datang...”katanya.

Naik tren untuk balik, sekali lagi saya naik tren lama. Apa boleh buat. Pintu antara kocnya asyik terbuka dan terkatup mengeluarkan bunyi bising dan ngilu. Dalam koc ramai masyarakat India. Saya tekun memerhati seorang nenek yang nampak sama macam nenek yang saya lihat dalam filem Tamil semalam. Dia memakai subang di hidung. Ada cincin di hampir semua jari tangan dan dua jari kaki. Gelangnya banyak di kedua-dua belah tangan. Ada tanda merah di dahi, ada juga tanda berwarna putih sebaris. Nenek itu ramah juga. Sambil makan sireh, dia senyum-senyum dengan semua orang. Kemudian saya ternampak sesuatu di tangan kanannya. Nenek membuat tatu?

Kebetulan sementara menanti onkologis tadi, saya membaca majalah National Geoghraphic mengenai India. Saya pun memang suka melihat filem Tamil yang pada pendapat saya, begitu menghampiri realiti. Abaikan tarian dan nyanyian sebab bahagian yang itu saya tidak suka. India sebuah negara yang menarik. Masyarakatnya, budaya, bahasa dan keberanian para seniman mengkritik sangat mengkagumkan saya. Saya paling suka melihat tatarias wanitanya!

Perjalanan kecil ke hospital hari ini dalam masa selang tiga hari, banyak memberikan saya pelajaran.

Pertamanya, mendengar orang bicara tentang isu kehilangan pesawat, mengingatkan saya akan gurauan teman, “kalau ada insiden besar seperti ini, ramai orang kita yang tiba-tiba menjadi pakar Maggie...”

Maksudnya ialah “pakar mi segera”.

Keduanya, ilmu tanpa amal seperti sungai tanpa air, merujuk kepada situasi waktu menunggu teksi. Tanpa disiplin dan rasa keinsanan, negara tidak akan maju dalam definisi sebenar.

Ketiga, itulah sebabnya Allah menurunkan perintah agar wanita menutup auratnya dengan sempurna dan para lelaki memelihara pandangan mata! Ini merujuk kepada kisah di koc yang bercampur jantina.

Saya tamatkan tulisan ini dengan sebarisan kata daripada Allahyarham T.Alias Taib...hidup bukan satu perjalanan panjang tetapi ribuan perjalanan pendek yang bersambung-sambung.

Adios!

No comments: