Total Pageviews

Thursday, March 13, 2014

Harmonika Dan Jerebu

Bunyi tiupan harmonika itu sangat merdu. Dan sayu juga. Lagunya manis sekali, sebuah lagu Inggeris yang saya lupa tajuknya.

Saya mengintai ke seberang. Seorang lelaki peniup harmonika. Tidak tahu berbangsa apa sebab dia membelakangi saya di laluan bersebelahan, iaitu jejantas ke stesen LRT.

Saya terpaku lama di situ, menghayati iramanya yang menyedihkan. Dia tenggelam dalam keasyikan, muziknya menerawang dalam langit Bandar Tasik Selatan yang berjerebu.

Beberapa orang memakai topeng hidung.

Langit tidak berawan. Pembenihan awan tidak dapat dilakukan sebab awannya tiada. Bagaimana mungkin boleh membenihkan bayi jika tiada rahim?

Bunyi tiupan harmonika sangat kuat sehingga saat mahu melangkah ke perut gerabak, saya masih mendengarnya dengan jelas sedangkan dia meniupnya di atas dan kami menunggu di bawah.

Dan bunyi itu terus bersipongan dalam minda ketika saya disambut langit kelabu Bandar Seremban.

Kesedihan-kesedihan yang melanda negara mutakhir ini seperti sedang ditangisi dengan bunyi tiupan harmonika lelaki itu. Namun tiba-tiba ada sekumpulan orang melakukan aksi di KLIA persis filem Laksamana Doremi.

Yang buat lawak bodoh, khurafat, sesat dan yang seangkatan dengannya itu memang sudah pelik. Tetapi orang atasan yang memanggil mereka melakukan ritual itu sejuta kali “boni” daripada yang “boni”. Sungguh memalukan apabila media Arab mengeluarkan berita “Sihir adalah jalan terakhir Malaysia dalam usaha mencari pesawat yang hilang”.

Saya rasa mahu jadi macam burung unta. Menyorokkan muka ke dalam lubang!

Wahai bomoh dan yang memanggil bomoh, negara kita ini sudahlah sedang menempuh banyak musibah. Kemudian kita buat kerja khurafat dengan melaung-laung nama Allah. Sepatutnya banyakkan solat hajat, penuhi masjid dan surau, hentikan pesona fitnah...

Daripada memanggil Bomoh VIP lebih baiklah kita kumpulkan para ulamak.

Berleter-leter pula saya hari ini. Sebab waktu di dalam teksi, pemandu itu bercerita tentang ritual bomoh di KLIA. Saya memang tidak menonton TV, hanya nampak dalam laman sosial. Internet pula ada masalah sejak beberapa hari ini. Waktu mula-mula tengok, saya fikir ada pertandingan lawak jenaka. Saya langsung tidak percaya dalam semua orang sibuk melakukan solat hajat, boleh pula orang ini berdayung di atas simen dengan kelapa, bakul, teropong dan bubu!

Apa pun, saya tangguhkan dahulu kisah saya melakukan ujian saringan kali kedua dalam tempoh tiga minggu yang dibuat dari jam 9.30 sehingga 12.30. Tabik kepada para doktor dan pakar di HUKM. Anda memang yang terbaik. Walaupun prosesnya lama tetapi saya melaluinya dengan gembira, melihatkan kesungguhan Dr Sara dan petugas-petugasnya yang santun berbudi.

Pokok setawar di tepi tangga,
Ditiup angin lemah gemalai,
Walau ditawar emas sejuta;
Budi kalian takkan ternilai.