Total Pageviews

Sunday, March 9, 2014

Sayap Pun Tidak Kelihatan



Sudah melebihi dua puluh empat jam tetapi sidang media yang dibuat kelihatan mengulang cerita sama. Kasihan melihat wartawan yang mahukan berita. Jangan salahkan mereka jika kita masih belum tahu apa-apa. Begitu juga dengan pihak terbabit. Banyak yang perlu mereka buat sebelum dapat membuat pengumuman rasmi.

MH370 itu merupakan pesawat yang membawa kami terbang ke Beijing hujung tahun lepas. Sudah sebelas tahun lebih usianya dan pernah rosak pada 2012.

Dunia memberikan tumpuan kepada Malaysia, kali ini dengan simpati. Negara kita beberapa tahun ini memang selalu mencuri tumpuan, walaupun kebanyakannya berunsur negatif.

Inilah kali pertama saya menonton berita sampai habis. Menelefon mak, mak kedengaran sebak. Biasanya mak ke negara luar dengan pesawat MAS, sesekali dengan penerbangan tambang murah. Saya yang langsung tidak pernah menggunakan perkhidmatan selain MAS sebab saya lebih selesa menaiki MAS. Saya maklum akan kepakaran juruterbang syarikat penerbangan itu.

Pihak bertanggungjawab juga tidak boleh marah dengan spekulasi oleh massa. Apabila waktu lompong itu begitu panjang, kemudian dengan wujudnya capaian komunikasi internasional yang berada di hujung jari; maka orang akan teruja untuk membuat spekulasi.

Apa pun, mari kita sama-sama berdoa agar ada keajaiban yang berlaku. Mudah-mudahan benarlah berita bahawa pesawat itu berpatah balik. Bukan terhempas.

Wahai Allah, berikanlah petunjuk agar dipermudahkan segala-galanya.

Jangan berhenti berharap. Dan berdoa...