Total Pageviews

Saturday, March 8, 2014

Duka Malaysiaku...



Duka Malaysiaku yang sambung-menyambung.

Malam itu terasa lebih hangat dan memilukan. Hukuman yang mematikan hidup dan air mata seorang wanita.

Kemudian, ada bencana lain. MH370 yang hilang daripada radar. Macam-macam yang ditulis orang di laman maya. Ada yang buat spekulasi, ada yang tidak sabar dengan media negara, lantas mengikuti berita daripada agensi berita negara luar.

Saya tidak membaca akhbar atas talian seperti biasa. Saya lebih suka mengikuti status yang sentiasa dikemas kini seorang rakan jurutera kanan yang berpengkalan di sebuah negara luar. Dia menulis tanpa prejudis meskipun saya sangat tahu aliran fikirnya. Beritanya juga berfakta. Bukan sebab alir fikir yang sehaluan, tetapi dia ini sangat bermaklumat.

Biasanya kalau pesawat ke Beijing, akan tiba di Beijing Capital International Airport sekitar enam jam. Apabila hilang daripada radar, pasti ada sesuatu yang berlaku. Sehingga melepasi belasan jam, Malaysia masih tidak mengumumkan apa-apa. Barangkali mereka sudah tahu tetapi mahu memastikan kebenaran. Mengikut SOP.

Jarang ada yang jatuh terhempas masih bernyawa. Namun kuasa Allah siapalah yang tahu. Ini bukan cerita Tarzan yang akhirnya membesar di hutan. Ini realiti yang sangat mendukakan hati.

Rakyat Malaysia terus berdoa agar segala mala petaka ini tidak sambung- menyambung dengan petaka-petaka lain.

Ampuni segala dosa kami dan dosa pemimpin-pemimpin kami. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Belum terlewat untuk kembali semula ke pangkal supaya Malaysia akan terus di dalam keberkatan Allah SWT.

Berdoalah untuk mereka, tidak kira siapa...