Total Pageviews

Sunday, March 23, 2014

Menunggu Pulang



Seorang rakan, bekas juruhebah terkenal RTM, Zainal Abas (Kasajiza AS)yang kami sapa sebagai Abangcik, memuatnaik sajak ini di dinding laman sosial saya. Eh, nama saya disilap eja menjadi Rahna Laila. Selalunya nama ayah yang silap menjadi Shahidan atau Sahidin. Waktu mula-mula menulis dulu, ada pengkritik sastera menulis nama saya sebagai Ratna Laila Sari Dewi! Lagi teruk!

Saya pun menukar baju dan segera ke kedai. Ada pemandu wanita yang naik kereta mewah menjeling-jeling saya sebab dia mahu memarkir di tempat yang saya telah parkir. Biarlah, saya pakai kereta buruk pun bukan guna duit dia! Itulah dunia, kita selalu menampal-nampal dunia dengan kehebatan materi yang akhirnya akan kita tinggalkan begitu sahaja.

Saya membeli beberapa akhbar walaupun sebenarnya saya tidak baca pun. Akhbar-akhbar itu akhirnya akan jadi alas waktu saya menyiang ikan. Mahu hadam bagaimana kalau ruangnya dipenuhi berita hiburan dan senget sebelah!

Tidak banyak yang saya boleh lakukan hari ini. Kena rehat sepanjang hari. Loceng amaran telah berbunyi sedikit. Dan hanya yang telah mengalaminya akan faham. Sekarang saya sudah ada kawan se"anugerah" di jabatan, maka saya tidak akan bersendirian sebab sudah ada yang mengerti sama ada siang itu cerah atau kelabu. Esok akan cuba mengemas rumah dan menulis apa yang tertangguh sebab waktu tamatnya tinggal lagi seminggu. Mudah-mudahan Allah berikan saya ilham.

Walaupun kita disibukkan dengan urusan yang rencam, hati masih mengharapkan keajaiban. Saya memang tidak mahu lagi menonton berita atau PC mengenai MH370 itu. Yang tinggal kepada kita ialah sepenuh harapan kepada Allah. Cuma janganlah kita sibuk bersolat hajat sedangkan solat lima waktu kita abaikan. Janganlah ada waktu kita mengangkat tangan berdoa sedangkan pada waktu yang lain, kita berjogetan.

Hari ini giliran orang lain yang Allah uji. Itu sebab kena ada empati.

Orang-orang yang ada dalam pesawat itu tiada kaitan persaudaraan pun dengan kita. Tetapi kita berasal dari Pencipta yang sama. Pedih hati ahli keluarga, tidak mampu kita rasai. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul-mikul terutama tatkala ada yang celupar dan tiada otak menimbulkan tuduhan tidak berasas.

Kami akan terus menunggu pulang.