Total Pageviews

Tuesday, March 25, 2014

Ke Daerah Sunyi

Saya sedang menonton sebuah cerita, apabila tiba-tiba orang itu muncul dengan muka sugul.

Huh! Hati berdetik. Pasti ada berita terbaharu dan bakal melukakan.

Dia membaca teks media conference dalam bahasa Inggeris. Saya menangkap perkataan regret dan ended!

Hmmm...saya pasti anda tahu apa yang bergelombang dalam dada. Cuba menolak-nolak rasa enggan percaya, mustahil sedemikian jauh pesawat itu mengakhiri perjalanannya. Ke suatu tempat yang sangat asing, paling sunyi dan ganas.

Membaca Al-Fatehah untuk mereka yang Muslim, tidak kira hayat mereka masih ada atau tidak. Mengucapkan takziah kepada saudara-saudara yang bukan Muslim sebagai tanda solidariti. Saya kira, kita; anda dan saya sangat berduka dengan khabar ini. Betapalah pula mereka yang mempunyai hubungan darah dengan mangsa.

Tujuh belas hari. Masa yang sangat lama. Berada di lautan paling jauh dan bergelora. Saya tidak dapat membayangkan semua itu.

Ada beberapa teka-teki yang sedang bergentayangan dalam kepala. Saat pesawat itu melakukan pusingan dan terbang ke arah Langkawi, adakah kapten bermaksud untuk mendarat di situ sebagaimana andaian seorang juruterbang berpengalaman? Radar tentera sudah mengesan tetapi mengapa tiada tindak susul?

Sejak mula saya merasakan ada yang tidak kena apabila diumumkan ada tumpahan minyak dan debris di perairan Vietnam. Maka berpusu-pusulah segala pencarian di situ. Nihil. Sonder bukti.

Dan sebenarnya ada sesuatu lagi yang sedang bergolek-golek dalam hati tetapi agak sensitif untuk diperkatakan. Tarikh kehilangan dan tarikh pertemuan. Apalah ia suratan atau kebetulan? Apakah Allah mahu memberitahu kita sesuatu? Sebelum bala yang lebih berat menimpa?

Saya kasihan dengan keluarga mangsa. Lebih kasihan kepada CEO MAS yang saya fikir menanggung beban yang sangat tidak tertanggung dalam tempoh beberapa minggu ini.

Allah sedang menguji kita.

Jika orang melihat pengakhiran perjalanan penumpang dan anak kapal itu sebagai sesuatu yang menyukarkan, bagi saya mereka adalah insan terpilih. Bayangkan seluruh umat berdoa untuk kesejahteraan mereka. Masya-Allah. Subhanallah.


Setelah tujuh belas hari
berdiam diri
Engkau dikhabarkan mengakhiri
Perjalananmu di lautan paling sunyi
Kembalilah kalian dalam dakapan Illahi
Dengan doa kami mengiringi...