Total Pageviews

Monday, March 3, 2014

Esok Yang Hilang

Jumaat minggu lepas, sengaja saya menjenguk kubikal Kak Yam di bilik pensyarah kanan.

Sedihnya! Sudah kosong, hanya ada beg dan beberapa buku. Jumaat itu hari terakhir Kak Yam bergelar pendidik.

Saya memasukkan dua helai lukisan komik adik dalam album yang akan diberi kepada Kak Yam. Mudah-mudahan akan ada kenangan antara kedua-duanya. Adik pernah ikut kami ke Kuala Lipis pada 2011 sebab waktu itu universitinya cuti dan saya sudah mula kurang sihat.

Oleh sebab Kak Yam sangat istimewa, saya tulis dua buah sajak khas untuk Kak Yam. Sebuah bertajuk “Menjadi Guru” dan sebuah lagi “Dalam Perjalanan Menuju Gembira”.

Sukar membayangkan hari-hari tanpa Kak Yam. Selepas ini kepada siapa saya mahu bercakap sesuatu yang diam bersembunyi dalam hati. Kak Yam yang rajin melayan saya pun, kadang-kadang berjam-jam mendengar tazkirah Kak Yam usai dhuha, jika kami tiada kuliah.

Kak Yam selalu jadi agen penenang kepada adik-adik yang gopoh dan cemas bekerja. “Tak apa,” katanya selalu, “buat kerja pelan-pelan. Buat ikut upaya kita. Jangan paksa diri. Nanti kalau sakit, siapa yang susah...”

Kepada saya, Kak Yam selalu berleter, “pi rehat. Dah doktor bagi cuti, awat mai jugak?”. Kadang-kadang saya sengaja mahu mengusik-usik. Seronok dengar Kak Yam berleter terutama dalam loghat Kedah yang pekat. Kalau teringat mak, saya akan ke bilik pensyarah kanan dan mencari Kak Yam. Kalau ada masalah yang meruntun hati pun, saya akan cari Kak Yam. Bercakap-cakap sekejap untuk menenangkan tasik hati yang berkocak.

Lama-lama nanti saya tahu, saya akan terbiasa dengan ketidakhadiran Kak Yam. Kesibukan menguruskan kesihatan diri, kerja dan keluarga akan menghilangkan kesedihan. Bukan Kak Yam pergi ke mana pun, dia hanya bersara.

Kak Yam menjadi figur yang akan selalu ada dalam minda. Nasihat dan leteran Kak Yam menjadi ingatan-ingatan berpanjangan.

Semoga Kak Yam ceria dan sihat mengisi ruang persaraan yang menjadi impian semua pekerja. Mudah-mudahan kerajaan mengubah polisi umur persaraan kembali kepada asal iaitu 55 tahun. Anak-anak kita akan ada peluang kerja selepas graduat. Dan saya pun hanya ada lebih kurang tujuh tahun lagi untuk bersara...

Yahuuuu!!!!!!