Total Pageviews

Saturday, March 1, 2014

Hari Menangis Sedunia

Kadang-kadang meskipun sudah berazam, kita tetap kalah dengan emosi dan kenangan.

Tengah hari Sabtu itu, saya dan anak-anak ke majlis kenduri perkahwinan anak bongsu Allahyarham Ustazah Mukarramah.

Saya sudah berdoa banyak-banyak supaya saya tidak merosakkan kegembiraan pengantin dengan kesedihan. Namun tatkala melihat anak itu dengan pakaian pengantinnya ke sana sini meraikan tetamu, saya kalah. Memeluknya saya masih tenang. Tetapi ketika mahu makan dan saya memandang ke sekitar, hati saya menangis, melarat pula ke mata.

Saya membayangkan ustazah masih ada dan dia pasti menjadi ibu paling sibuk di dunia pada hari perkahwinan puteri bongsunya itu, satu-satunya anak yang telah berumah tangga. Anak perempuan tunggal pula. Anak itu manja, persis anak-anak saya. Saya sudah biasa melihatnya sejak dia masih kecil waktu saya dan ibunya menjadi rakan sejawat di kolej.

Saya melihat sekeliling. Ya Allah, saya tidak mampu menelan juadah yang terhidang. Sungguh! Anak itu baru kehilangan ibu dua bulan lalu. Sama ada bapanya, dia, suami dan abang-abangnya; mereka sentiasa cuba memaniskan wajah menyambut tetamu yang datang. Tetapi jauh di sudut hati, hanya Allah sahaja yang mengerti.

Ustazah itu, dalam menangani anak-anaknya; dia persis saya. Anak-anak menjadi keutamaan dalam bicara dan tindakan. Kadang-kadang saya mengikut contoh yang dia buat untuk anak-anaknya.

Waktu mahu pulang, kami berfoto. Saya berpesan kepada suaminya, “jaga adik baik-baik...” dan mula menangis. Sebetulnya banyak yang saya mahu pesan, sebagai lazimnya seorang ibu akan berpesan tetapi kehibaan membuatkan saya gagal untuk bicara. Sepanjang jalan saya menangis. Berhenti sekejap di gigi jalan dan menangis. Anak-anak saya sangat memahami dan mereka tidak memujuk dengan kata-kata. Mereka hanya memegang tangan saya dan memicit bahu. Kalau dipujuk, pasti saya akan menangis lebih kuat dan lama. Itu sangat mereka fahami.

Pulang ke rumah dengan rasa sedih yang berpanjangan. Malam ini kami akan meraikan persaraan Kak Yam pula. Saya menanam azam yang sama. Saya tidak akan menangis sebab Kak Yam mahu bersara dengan gembira. Itulah juga sebabnya petang Jumaat saat Kak Yam melayangkan kad perakam waktu untuk kali terakhir dan orang-orang mula berpelukan dan menangis, saya menghilangkan diri.

Rupa-rupanya Kak Yam perasan akan kehilangan saya.

“Kak Yam dah agak Yang mesti cabut lari...” katanya.

Malam itu saya tidak bersajak seperti biasa. Saya menyanyikan dua rangkap lagu untuk Kak Yam. Saya hanya pernah sekali menyanyi di hadapan khalayak secara berduet. Suara saya tidak enak tetapi saya tetap mahu menyanyi untuk Kak Yam.

Isnin ini saya bukan lagi rakan sejawat Kak Yam.

Ya, apa pun perubahan musim, seperti yang selalu saya ulang dan ulang, kita kena hadapinya dengan berani. Kehilangan seorang ibu seperti Ustazah Mukarramah didepani anak-anak dan suaminya dengan keberanian yang payah.

Dan Kak Yam hanya bersara. Kak Yam masih menjadi pilihan saya untuk bercerita dan bermanja meskipun tidak lagi bertentangan mata.

Saya pasti akan merindui wanita itu...