Total Pageviews

Wednesday, February 26, 2014

Mungkin Dia Lebih Baik...



Kita selalu membina tanggapan melalui kulit.

Kita melihat kulitnya cantik, tetapi ketika buah dikopek, isinya busuk dan berulat.

Pengalaman demi pengalaman yang sama telah kita lalui namun kita masih begitu. Masih membina persepsi dengan melihat kulit.

Ada yang memang kulitnya secantik isi. Ada yang kulitnya kelihatan buruk tetapi isinya bagus. Ada yang kulit dan isi sama buruk.

Kita sebagai manusia hanya mampu melihat luaran. Isi hati milik Tuhan. Namun kita selalu mampu meneka hati dengan melihat jenis perangai. Dari situlah kita mula membina persepsi.

Selalu kita dengar orang berkata, “mulutnya memang bising dan celupar. Tapi hatinya super baik”.

Atau, “nampak sahaja muka malaikat tetapi perangainya syaitan!”

Masya-Allah...jangan sampai begitu! Siapa kita untuk menilai manusia lain berdasarkan satu atau dua insiden.

Mana tahu waktu itu dia sedang ada masalah kronik. Jadi, dia melampiaskan kemarahannya atau mempamerkan sikap kurang baik.

Mana tahu dalam lapan puluh peratus waktu yang lain, dia sebenarnya lebih baik daripada kita.

Dalam meniti usia yang semakin jauh ini, kita kena belajar sedaya upaya untuk tidak menilai melalui kulit. Taufik dan hidayah Allah boleh singgah kepada sesiapa yang Dia suka. Hari ini orang itu berpakaian seksi tetapi mana tahu esok lusa dia menutup auratnya dengan sempurna. Hari ini orang itu terlibat dengan gejala negatif, mana tahu esok lusa dia menjadi manusia paling dikasihi Allah.

Apabila kita berpakaian, ingatlah selalu bahawa pilihan pakaian kita itu bukan sahaja memberi impak kepada kita, bahkan juga kepada kantung pahala & dosa suami (jika kita sudah berkahwin) atau ayah kita (jika belum berkahwin). Namun jika kita melihat orang lain berpakaian kurang sempurna, berdoalah agar kita dan dia dalam peliharaan Allah dan terus mendapat hidayah-Nya. Jangan sesekali menganggap kita lebih baik daripadanya semata-mata sebab pakaian kita. Akhlak kita sewajarnya sama baik dengan pakaian yang kita sarung. Jangan kita bertudung labuh, menutup sebahagian wajah tetapi perangai kita sarat dengan hasad dengki, memandang rendah kepada orang lain atau sifat buruk yang lain.

Kalau boleh biarlah kulit secantik isi.

Tetapi kalau sudah memang kulit itu kelihatan buruk sejak azali, biarlah isinya tetap molek.

Jangan sesekali kulit gemerlapan, licin dan menawan tetapi isinya busuk berulat.

Atau kulit dan isi sama setara busuknya.

Mari kita kurung sikap ujub dan riak.

Ingat selalu, barangkali dia yang kita lihat dengan mata lahiriah itu lebih baik daripada kita...