Total Pageviews

Friday, March 7, 2014

Selamat Hari Emak Dan Saya



Apabila Islam menetapkan yang wanita itu perlu menutup auratnya dengan sempurna, maka para orientalis, malahan dalam kalangan umat Islam yang berselindung di sebalik NGO wanita; mendakwa bahawa Islam cuba menjadikan wanita sebagai manusia kelas kedua.

Ini tulisan yang sangat berbeza. Kelihatan serius dan barangkali membosankan. Ya, sempena Hari Wanita yang sebenarnya tidak pernah saya sedari kewujudannya. Sebab setiap hari bagi saya adalah Hari Emak Sedunia.

Ada orang memberikan analogi mudah. Begini...kalau diberi pilihan, mahu ambil makanan yang bertutup atau yang dibiarkan terbuka?

Aduhai, sudah marah para pejuang hak asasi wanita sebab menyamakan wanita dengan makanan!

Menutup aurat dengan sempurna bermakna tidak bertudung pendek, bertudung tetapi berlengan pendek, bertudung tetapi kainnya jarang, bertudung tetapi dengan perhiasan berlebih-lebihan....bla...bla...bla...

Tetapi berdakwah janganlah kasar. Jangan mendesak-desak atau memperlecehkan orang. Kadang-kadang budak-budak muda ini pantang disebut “jangan”.

Saya perlahan-lahan beritahu anak bahawa jangan sesekali memakai baju lengan pendek tetapi bertudung. Alhamdulillah, selesai! Itu dahulu. Jangan banyak-banyak, nanti menjadi bola yang dilontar pada dinding. Tiada kesan apa-apa pun.

Alhamdulillah. Yang lain-lain? Perlahan-lahan. Contohnya, tudung yang pendek, nampak dada. Atau baju yang ketat nampak bentuk badan dengan jelas. Atau solekan yang tebal. Atau perhiasan yang boleh menarik mata orang. Dan yang paling penting, perilaku.

Kalau sudah buat silap, persiapkan diri untuk tidak berbuat kesilapan lagi. Mana ada orang suci dalam dunia ini. Kadang-kadang kita yang menutup aurat ini terlupa, bertepuk tampar dengan yang bukan muhrim, buka mulut luas-luas dan ketawa; atau tergedik-gedik macam kucing miang.

Pintu taubat itu sangat besar dan luas. Allah juga sangat suka menerima pengakuan dosa kita. Itu sebab Dia sembunyikan aib kita.

Jangan berebut-rebut mahu membeli tudung dengan jenama hebat sampai melupakan hakikat sebenar kewajipan kita itu. Wanita kalau sudah membeli, boleh buka kedai tudung dibuatnya. Pening kepala suami melihat koleksi tudung pelbagai jenis dan warna. Cantik itu bagus. Tetapi alangkah bagusnya lagi jika kita sentiasa bersederhana dalam berpakaian.

Kasihan suami dan ayah kita. Dosa mereka sendiri pun bertimbun-timbun. Jangan bantu membukitkan lagi dosa mereka disebabkan penampilan kita. Dan para suami serta ayah pula jangan diam sahaja. Jangan pula menggalakkan anak gadis dan isteri memperagakan penampilan secara berlebih-lebihan.

Jangan lena dengan pujian. Itu peringatan untuk saya juga yang cabarannya lebih besar sebab punya dua anak gadis yang telah dewasa. Waktu tidak boleh berputar balik. Kalau tidak, sudah pasti saya “memuslimahkan” pemakaian dan amalan budak-budak itu seperti yang selalu saya impikan dalam doa.

Allah akan memelihara kita, memelihara keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

Ayuh, kita menjaga aurat dengan sempurna dan dengan segenap upaya. Itulah satu cara untuk memaknakan sambutan Hari Wanita.

Kita bersolidariti untuk kesederhanaan, kebenaran dan keadilan...dan saya tiba-tiba teringat akan wanita ini...S.Kalaichelvi! dia dipenjara dua tahun kerana membunuh lelaki yang cuba merogolnya.

Dia mempertahankan maruahnya...dan dia dipenjara kerana membunuh perogolnya. Dengan kudrat seorang wanita, dia pasti tidak berniat untuk membunuh tetapi hanya mahu menyelamatkan dirinya.

Tetapi apa mahkamah dunia lakukan terhadap wanita ini?

Dia menjadi banduan, digari dan disumbat ke dalam penjara.

Kata saya, “nak, yang dihantar ke penjara bukan semestinya orang jahat. Yang menghantar orang ke penjara itu yang sebenarnya penjahat!”

Selamat Hari Wanita!