Total Pageviews

Wednesday, February 12, 2014

Tibanya Kemarau

Musim yang redup hanya sebentar rupa-rupanya.

Sekarang, matahari sangat garang.

“Adik tengok berita pagi. Khabarnya musim kemarau ini akan berlanjutan sehingga Mei” lapor si bongsu melalui SMS.

Patutlah rasa begitu pijar. Musim kemarau sudah tiba. Air di dalam kamar mandi menjadi panas. Kain di sidaian cepat kering. Pokok daun belalai gajah juga menjadi kurus. Bil api pasti mencanak-canak naik. Budak itu apabila saya ke pejabat, mengangkut bantalnya ke kamar saya dan menyambung tidur dalam pendingin hawa.

Air bakal dicatu. Musim kemarau ialah musim air setitik nilainya menjadi emas. Saya balik menakung air. Menyimpan stok air, mana tahu kalau tiba-tiba kawasan kejiranan ini menerima catuan dalam waktu terdekat.

Baru sekejap berangan-angan Malaysia menjadi negara empat musim, tiba-tiba kita dilanda kemarau pula.

Tetapi boleh dikira kategori negara empat musim jugalah. Musim hujan, musim kemarau, musim durian dan musim cuti sekolah...

Musim apa pun, yang indah itu ada di mana-mana.

No comments: