Total Pageviews

Friday, February 14, 2014

Kak Yam: Selamat Bersara

Seminggu lebih lagi Kak Yam akan bersara dalam usia enam puluh.

Kak Yam asal orang Kedah. Mendengar dia bicara sudah dapat meneka dia orang utara. Ada beberapa hal yang menyebabkan saya serasi dengan pensyarah kanan DG54 ini.

Pertamanya dia dari negeri sebelah utara. Budaya kami dari latar yang hampir sama. Keduanya, zodiak kami serupa. Dia di kepala dan saya di ekor, lebih tepat di hujung ekor. Ketiganya, dia ini orangnya sarat dengan ciri keibuan. Kalau orang yang bersuara garang atau muka cengil, saya pun takut mahu dekat. Keempatnya, namanya dan mak sama (nama mak yang kedua yakni alias). Keluarga sebelah mak saya pun asal Kedah.

Sejak saya masuk ke institut, saya memang suka mengekori Kak Yam. Mungkin saya selesa sebab Kak Yam tidak bersuara kuat. Oleh sebab persamaan dan sentimen keutaraan itu, saya rajin bersembang dengan Kak Yam, bercerita sesuatu yang saya tidak mungkin bercerita dengan orang lain. Ada sesi meluahkan perasaan juga, kadang-kadang daripada saya dan kadang-kadang daripada dia. Oleh sebab mulut saya ada zip, cerita apa pun akan duduk diam dalam kantung.

Usia saya berbeza dua belas tahun dengan Kak Yam. Dia sebaya kakak sulung saya. Mengenang dia yang mahu bersara pada awal Mac, itulah sebab utama saya kembali bekerja walaupun cuti masih ada baki yang banyak. Kemudian, dalam beberapa waktu ini saya asyik menangis kalau mengingatkan bahawa selepas Mac ini, saya sudah tidak bekerja dengan Kak Yam. Sungguh! Saya menangis sampai teresak-esak!

Oleh sebab itu, saya mahu menghantar Kak Yam ke dunia persaraannya dengan gembira. Itulah yang selama ini dinanti oleh Kak Yam. Berehat tanpa terikat dengan rutin kerja. Tidak perlu pening kepala dengan segala macam prosedur. Boleh riang gembira dengan suami, anak menantu dan cucu. Boleh ke masjid dan buat kerja sukarelawan.

Kita pun kalau ada umur bakal melalui fasa itu juga. Mungkin bersara lebih awal. Yang penting ialah sihat sejahtera tubuh dan minda.

Hidup mesti berharap.

Mudah-mudahan kita sempat melalui apa yang Kak Yam lalui kini iaitu menghitung tarikh persaraan tanpa perlu menggunakan kalkulator lagi.

Mudah-mudahan!