Total Pageviews

Sunday, February 2, 2014

Sejuknya Malam Di Desa

“Suhu malam ini sudah masuk dua puluh darjah Celsius” kata kakak saya meneliti tablet Samsung Galaxy miliknya.

Malam masih muda tetapi saya membungkus diri tidur di atas buaian jaring di beranda simen. Kawan kakak yang datang mahu tidur di rumah mak tidak perasan ada bungkusan orang dalam buaian. Mak pula mencari-cari saya yang diam bersembunyi dalam selimut tebal.

Sebentar tadi saya menjerit-jerit memanggil mak sebab ada sekumpulan khinzir gemuk, barangkali satu keluarga khinzir dalam jumlah sepuluh atau lebih berderetan melalui tepi rumah mak. Ada bayinya yang comel juga. Patutlah mak gagal dalam penanaman apa pun sebab siang tanam, malamnya ada makhluk yang mengorek.

Kakak sangat risau kalau-kalau khinzir itu naik ke atas beranda simen dan mengusik saya.

Sumber makanan dalam hutan sudah pupus. Khinzir pun sudah berani masuk kampung. Kata mak, Cina di pekan pun tidak mahu lagi makan khinzir.

“Orang Cina itu beritahu mak, daging khinzir ada kuman. Mak kata, kalau dah masak mesti kuman mati tapi dia kata kuman itu sangat jahat. Kuman itu degil sangat dan tidak mati walaupun kena rebus...” mak ketawa tidak percaya dengan kata-kata apek di pekan.

“Betullah cakap apek tu, mak. Itu menurut kajian saintis. Ada seorang yang Yang kenal di Cameron pun tak makan sebab alasan sama. Saintis kaji sebab mereka mahu tahu kenapa Allah larang kita makan khinzir. Itulah dapatan para saintis”

Kata mak, patutlah apek itu beria-ia beritahu dia sekeluarga sudah tidak makan khinzir.

Kasihan juga kepada sekumpulan khinzir yang terpaksa masuk kampung untuk mencari makan. Kadang-kadang saya nampak juga masyarakat monyet yang dengan beraninya datang ke kawasan rumah.

Lebih kasihan ialah orang-orang kampung seperti mak. Mahu menyahut seruan kerajaan untuk bercucuk tanam pun susah. Khinzir membawa kutu juga. Itu pun akan jadi masalah kalau terkena kulit kita.

Ada keseronokan lain juga di kampung. Suatu malam saya nampak ada benda menjalar-jalar di lantai simen bilik air. Mula-mula saya fikirkan ular tetapi setelah diamati ia adalah seekor belut. Remaja belut. Mak menangkapnya dan memasukkan ke dalam akuarium yang menempatkan dua ekor puyu. Belut itu naik dari limbah yang dipenuhi kiambang di belakang rumah. Agaknya masuk melalui lubang air bilik mandi.

Cuaca sejuk memang membahagiakan. Tetapi tengah hari pijarnya boleh tahan. Kalau mandi di kolah mak, sejuknya aduhai. Tengah hari pun saya takut mahu mandi lama-lama. Air dari bukit memang superb!

Sejauh mana pun kita pergi, kampung juga yang menjadi pilihan hati. Serabut-serabut di bandar, akan terlerai kalau kita balik ke kampung. Saya jadi tidak faham kalau ada anak kampung yang tidak suka balik kampung. Bukan setakat jadi kacang lupakan kulit, malahan macam ikan lupakan air (peribahasa apa entah!).

Hanya tiga hari di kampung, saya kesedihan mahu balik ke Seremban yang keras dan tiada jiwa.

Saya ikut mak pergi dua kenduri. Satu kenduri perkahwinan warga emas dan satu lagi yang bukan emas. Saya nampak ada acar buah. Walaupun tidak suka makan, saya ambil sedikit dan tunjukkan kepada anak. Malangnya anak tidak kenal buah cermai, saya pun tidak tahu di mana ada pokok itu untuk saya tunjukkan buahnya yang kecil dan masam. Waktu kecil dulu, mak selalu buat jeruk dan kakak akan menjualnya di sekolah. Kadang-kadang kami mencicahnya dengan garam sambil duduk di dangau yang tiangnya ayah bina di atas batas parit jernih.

Untungnya mereka yang dapat menetap di kampung. Sedangkan saya masih menjadi perantau sejak usia masuk tiga belas.

Mak, nanti saya akan balik lagi. Dengan tubuh dan minda yang lebih sihat. Doakan saya selalu supaya dipanjangkan usia dan sihat sejahtera.