Total Pageviews

Saturday, February 1, 2014

Dinginnya Lembah

Pagi Sabtu di Lembah Lenggong.

Sangat dingin. Saya duduk di beranda simen emak yang terbuka. Kucing emak yang bijak itu juga duduk memerhati sekumpulan burung kecil yang riang melompat-lompat di atap. Bunyi kicauan burung sangat meriah.

Saya masuk ke dalam rumah mengambil selimut tebal. Kesejukan. Saya duduk di sofa membungkus diri seperti perempuan memakai burqa. Hanya mata yang kelihatan.

Boleh nampak ada orang sedang bersenam. Berjalan laju melawan sejuk. Begitu tenang persekitaran dan begitu manisnya udara. Meskipun sudah tidak sesuci puluhan tahun lalu, udara desa ini masih ketimbang bagus.

Emak mahu ke pekan hari ini. Ada pasar Sabtu. Kemudian saya mahu bawa mak ke klinik. Mahu beli produk delima yang sangat terkenal di pasaran negara. Apa-apa sahaja yang mak mahu, jika ada di pekan kecil ini, saya cuba carikan.

Orang sangat ramai, bersinggung bahu. Saya mencari parkir hingga jauh. Kemudian berlegar-legar mencari mak.

Ketika berjalan-jalan itu, tiba-tiba saya melihat satu wajah.

Saya tepuk bahunya perlahan.

“Cikgu. Cikgu Zainabun kan?”

Dia cikgu yang cantik. Saya masih ingat dengan jelas akan raut wajah guru bahasa Inggeris sekolah rendah saya itu. Khabarnya suaminya yang juga guru telah lama meninggal dunia.

“Laila?” wajahnya riang. Reaksi biasa seorang guru ketika berdepan dengan bekas muridnya.

Dia bertanya saya bertugas di mana sekarang. Juga sudah punya berapa anak.

“Masih menulis?”

“Masih...” Dia masih ingat rupa-rupanya akan kegiatan saya menulis di Bujal dan Bambino berpuluh tahun lalu.

Dan paling menjadikan saya terkilan ialah dalam keterujaan itu saya sampai lupa mahu mengucapkan terima kasih!

Cikgu ini dulunya berambut kerinting pendek. Ada tahi lalat di dagu. Cantik sekali. Anak-anaknya juga cantik. Dia selalu beritahu bahawa orang kampung pun pandai cakap bahasa Inggeris.

“Orang kampung kalau mahu sebut penumpang, mereka akan kata pesengje (passenger)...”

Cikgu, sampai setua ini saya masih ingat apa yang cikgu beritahu itu. Terima kasih cikgu! Mudah-mudahan ilmu yang cikgu curahkan menjadi pahala yang berpanjangan.

Menunggu lama di klinik sangat membosankan.

Tetapi jam sepuluh pagi di lembah ini masih dingin. Saya masih berpeluk tubuh.

Saya teringat impian bodoh saya mahu menjadi orang Eskimo yakni Kaum Inuit yang tidak suka mereka digelar Eskimo (si pemakan daging mentah).

Sudah dingin begini pun tidak tahan, mahu lagi jadi Kaum Inuit di kutub!