Total Pageviews

Monday, February 3, 2014

Kuat

Dengan hati berat seperti ada satu ratus kilogram batu, saya berangkat pulang jam tiga sepuluh minit petang.

Melambai-lambai mak yang menghantar dengan mata dan doa adalah saat paling melukakan. Tetapi kena balik sebab anak sulung sendirian di rumah dan lusa adalah hari bekerja.

Masuk sahaja ke laluan lebuh raya KK, sudah kelihatan kereta-kereta yang terkepung dalam kesesakan.

“Ini tentu sehingga Terowong Menora” ujar saya.

Memang pun. Kereta bergerak sedikit-sedikit seperti orang tua yang sakit lutut. Mendaki laluan berbukit dalam panas petang. Sehingga ke Simpang Pulai, si adik sudah sakit kepala. Saya minta dia berhenti di sisi jalan dan saya mengambil tempat pemandu. Mahu keluar semula pun sangat menyiksakan. Mujur ada sebuah kereta pemandu Tionghua yang cepat-cepat menghalang kereta lain seolah-olah memberi jalan untuk saya.

Dari Simpang Pulai, kesesakan berterusan. Tidak dapat singgah di Tapah sebab kereta beratur panjang. Orang memarkir di kawasan yang kelihatan mustahil untuk memarkir. Saya bercadang mahu berhenti di Ulu Bernam, dengan kiraan waktu Maghrib dan Isyak yang boleh dijamak.

Tiba-tiba waktu mendaki Gua Tempurung, kereta adik berbunyi sedikit. Hati terkilan sebab sebelum balik sudah dihantar ke bengkel, tayar baharu dan alat ganti baharu dengan caj mencecah hampir dua ribu. Saya memohon doa agar Allah membantu kami. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Ulu Bernam. Memarkir, makan, solat dan bersenam-senam.

Menghubungi mak, saya beritahu jangan risau. Orang ramai, Rela pun ada. Adventure, kata saya. Kami mungkin tiba awal pagi ke Seremban, jadi saya hanya akan hubungi mak waktu solat subuh.

Usai solat, bergerak ke kereta. Allah mempertemukan saya dengan seseorang.

"Rasanya macam kenal. Kak pernah sekolah di MGS kan?" dia menyapa. Sebenarnya naluri saya pun memberitahu begitu. Rasa macam kenal.

Dia mengingatkan saya bahawa namanya Aisyah, rasa-rasanya begitu yang saya dengar. Cuba mengingat-ingat muka dia masa sekolah menengah. Junior saya di MGS dulu. Dia mengambil nombor saya dan katanya akan wassap saya. Dalam hati saya tergelak sebab saya satu-satunya pensyarah paling kuno di Jabatan Pengajian Melayu itu. Telefon bimbit Nokia pemberian anak bongsu hanya berfungsi untuk panggilan dan mesej, juga untuk mendengar radio. Bukan tidak ada, sudah pun diberi si sulung yang lain tetapi saya rasa macam terganggu jika fungsi telefon bimbit itu menjadi macam-macam.

Selepas itu si adik yang memandu dan saya kena bercerita sambil berbuat lawak. Berhenti lagi di Dengkil. Memasuki laluan Guthrie, jalan sudah tidak banyak kereta. Di Dengkil, sempat rehat-rehat lagi. Mengisi minyak dan bergerak semula.

Sudah maklumkan jiran dan si sulung bahawa kami akan tiba lewat. Jam 1.50 pagi mendarat di halaman rumah. Si sulung yang insomnia riang menyambut. Sibuk memberitahu perkembangan dirinya sepanjang duduk solo di rumah selama empat hari. Kemudian bising bergurauan dengan si adik yang gemar mengusik.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Allah yang memelihara kami. Memelihara orang-orang yang kami tinggalkan dan orang-orang yang bakal kami temui.

Entah jam berapa rumah kembali sunyi.

Si adik lena dengan kata-kata saya bahawa “kena ada kekuatan dalaman yang hebat kalau memandu dalam kesesakan melampau dan pada waktu malam. Semangat kena kuat terutama kalau dalam waktu sama hujan dan ribut melanda. Macam hidup kita juga. Kalau kita cepat berhenti dan menyerah kalah, kita tidak akan sampai ke destinasi. Lambat pun tidak mengapa. Asal saja jangan cepat putus asa!”