Total Pageviews

Thursday, February 6, 2014

Sebenarnya...

Waktu sekolah dahulu atau waktu di dewan kuliah, pasti ada antara kita yang suka melakukan kegiatan ini.

Apakah itu?

Kegiatan mengira berapa banyak pending yang terhasil daripada wacana lisan.

Dalam ilmu komunikasi, pending mengambil kira kekerapan tabiat menyebut sesuatu perkataan atau unsur bunyi apabila berlangsungnya pengucapan lisan dalam kuliah atau perbualan.

Antara contohnya ialah kekerapan menyebut perkataan OK, well, baik, oh ya, kan, atau bunyi seperti hmm, err dan sebagainya.

Seorang teman pensyarah gemar mengulang perkataan “sebenarnya” sebagai trademark. Dia tidak menyedari pada awalnya tetapi saya dapat mengesan belasan ulangan “sebenarnya” dalam ceramah yang diberi oleh beliau. Peribadinya yang menarik dan penekanan terhadap perkataan “sebenarnya” melambangkan keyakinan beliau atas ujaran dan topik.

Saya juga gemar mengulangi perkataan “dapat?” jika sedang menyampaikan kuliah terutama apabila selesai menjawab soalan atau beralih tajuk. Rasanya kebanyakan guru memang begitu.

Saya juga selalu perasan ada dalam kalangan guru yang suka berhenti sebelum suku kata akhir dan membiarkan pelajar-pelajar menyambung suku kata tersebut. Contohnya, guru saya dulu akan menyebut begini, “ orang yang rajin akan berjaya. Orang yang malas akan ga...”

Maka kami beramai-ramai akan spontan menyambung suku kata akhir iaitu “...gal”.

Pensyarah saya dahulu ada yang begitu. Apabila saya tanya adakah beliau pernah menjadi guru, jawapannya ialah ya.

Guru yang seperti ini memang guru yang sangat guru. Dia mengundang keterlibatan murid-murid dengan gaya tersendiri.

Tidak kiralah apa pun perkataan atau bunyi yang diulang dalam ujaran lisan, ia adalah sesuatu yang menjadi trademark peribadi kita.

Mungkin sekarang kita sedang mengira jumlah pending pengucap, pada waktu lain ada orang pula sedang mengira jumlah pending yang kita lakukan.

Orang di negeri tempat saya menumpang ini gemar menyebut “kesannya...” yang bermaksud “rupa-rupanya”.

Banyak berjalan luas pengetahuan.

Kita kutip pengalaman sepanjang jalan yang kita lalui.