Total Pageviews

Saturday, February 8, 2014

Pagi Minggu Yang Sunyi

Pagi hari minggu dan kejiranan masih sunyi.

Barangkali orang-orang menyambung tidur selepas bangun solat Subuh. Rumah kecil kontrakan saya pun sunyi. Budak yang seorang itu menyambung tidur dan yang seorang sedang menonton siaran pagi dengan volum rendah.

Pagi ini saya masakkan laksa utara yang disukai budak-budak ini. Laksa kuah pekat. Kelmarin membeli laksa di gerai tetapi si sulung memberi komentar kurang bagus. Manis, katanya. Barangkali kuah semalam yang dihangatkan dan dicampur gula.

Kalau masak sendiri, pesan saya kepada anak, baca Bismillah, selawat sepanjang waktu. Insya-Allah sedap dan bermanfaat.

Saya dulu macam budak-budak inilah, memang tidak tahu masak. Tapi lama-lama apabila bosan makan di kedai, cuba-cuba masak dengan resepi sendiri. Bukan boleh ikut sangat pun resepi dalam buku. Sekarang lagi mudah, di internet berlambak blog masakan. Boleh cuba macam-macam sampai jadi obes.

Makan di kedai bukan tidak boleh tetapi lazimnya mereka akan gunakan serbuk perasa dalam kadar yang banyak. Kebersihan satu hal lagi. Kalau di rumah, kita akan merendam sayur dengan garam dalam setengah jam untuk menghilangkan bahan kimia. Minyak yang mereka gunakan barangkali kualitinya boleh dipersoal. Mungkin juga minyak yang telah digunakan berkali-kali.

Sampai sekarang saya tidak pandai masak kuih. Kebetulan saya pun tidak sukakan kuih. Mata air saya pun tidak suka makan kuih terutama yang digoreng. Budak-budak ini pun sama. Selamat...tidak perlu susah payah mahu belajar buat kuih!

Kalau mahu beli kuih pun kena tengok betul-betul. Kalau penjualnya ambil kuih dengan tangan tanpa sarung plastik atau pengepit, lupakan sahaja. Kalau kukunya panjang, pun lupakan sahaja! Penjual mesti memakai skaf atau mengikat rambut. Tidak boleh mengerbang rambut kalau mahu menjual makanan. Yang lelaki pula pastikan rambut kemas, misai dan janggut kemas. Jangan becok sampai terpercik air liur.

Memang saya cerewet. Tetapi tidak boleh lawan kakak saya yang di Ipoh itu. Cerewetnya membuatkan saya yang cerewet ini pun tidak tahan!

Membawanya melancong, memang kena tahan sahajalah kalau dia enggan makan di gerai yang menurut piawaiannya kurang bersih. Mahu tidur di hotel pun dia melapik tilam dengan kain. Saya pun buat begitu sekali-sekala tetapi kalau sudah penat, bantai sahajalah.

Kereta dia sangat bersih. Tetapi dengan saya dan mak, dia tidak kisah kalau masuk kereta tidak mengetuk kasut untuk membuang kotoran. Ada kasta juga rupa-rupanya...hahaha...

Masaklah apa sahaja asalkan dengan penuh ikhlas dan kasih sayang. Kadang-kadang makan nasi putih dengan ikan kering dan sambal belacan sahaja pun rasanya sangat enak, berbanding makan yang kelihatan bagus-bagus di hotel yang berbintang-bintang.

Matahari sudah memanjat naik dari kaki langit. Kejiranan ini sudah hilang sunyi. Bunyi orang menumbuk dan menumis sudah kedengaran.

Ahad masih sunyi untuk saya. Sunyi di hati.