Total Pageviews

Monday, February 24, 2014

Perjalanan Menuju Sunyi Ke Kg Karyawan Malim


IBM sedang baca sajak


Lakaran adik atira laila mengenai peristiwa The Sleeping Bag Story

Pagi Sabtu kami ke Puncak Alam. Melihat-lihat apartmen dan bertemu tuan rumah. Untungnya dia, baru seusia puteri sulung saya dan sudah memiliki sebuah apartmen. Menyambung bayaran bapanya.

“Kalau nak beli sendiri memang tak mampu. Saya cuma sambung bayaran bulanan. Rumah ini milik bapa saya sebenarnya,” dia menerangkan.

Tidak kisahlah, janji sudah ada rumah untuk berlindung dan melangsungkan kehidupan.

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Gopeng. Ke Kampung Karyawan Malim, Gua Tempurung. Ada acara Baca Puisi Unggun Api.

Sudah ada selonggok kayu api yang dikelilingi oleh bulatan batu-batu sungai.

Sudah ada yang sampai. Bekas juruhebah RTM, Zainal Abas, yang kami sapa sebagai Abangcik melambai-lambai kami yang asyik menelefonnya sebab sesat.

“Pilih khemah. Ini kawasan khemah perempuan. Yang lelaki di sana,” katanya menunjuk ke arah kumpulan khemah di lapangan. Dato’ Dr Zurinah Hasan menyampuk, “mai duk khemah sebelah saya ni. Awat pilih khemah jauh di hujung?”

Kami membersihkan lantai khemah yang ada sedikit pasir. Menghampar tikar dan mengangkut beg. Seorang demi seorang sampai. Saya bertemu Asmira Suhadis di Tempat Rehat Tapah, tetapi saya yang sampai dahulu.

Saya, si adik dan Kak Rosmiaty Shaari menuju ke tempat masak. Mahu membantu apa yang boleh. Seekor kambing dipanggang. Lemang di bakar sederet. Kami memotong bahan-bahan untuk masak dalca. Banyak betul juadah yang disediakan tuan tanah.

Selepas solat Maghrib, ada tazkirah oleh Pak Malim Ghozali Pk. Tajuknya Tawaf. Penuh pengertian, menceritakan ilmu Fizik yang terkandung dalam al-Quran. Saya mendengar dengan kagum. Budak-budak anak orang kaya-raya dari Sekolah Seri Cempaka juga ada mendengar termasuk yang bukan Muslim.

Makan malam berselerak di bawah langit malam memang menyeronokkan. Saya melihat ke langit. Hanya ada dua butir bintang. Unggun api dinyalakan marak. Si adik kena mengalih keretanya ke tempat lain.

“Adik fikir baca sajak di keliling unggun api. Rupa-rupanya simbolik sahaja...” kata anak saya.

Saya pembaca keempat selepas Dr Siti Zainon Ismail, Dato’ Dr Zurinah Hasan dan Dr Rahim Haji Abdullah. Pengacaranya si Shasha yang comel sengaja mahu “mengusik” saya. Saya minta baca di hujung, jadi dia mengawalkan nama saya!

Saya membacakan dua sajak. Satu sajak itu saya tulis sepanjang jalan ke Kampung Karyawan Malim. Tajuknya Perjalanan Menuju Sunyi. Sajak kedua agak bertepatan dengan suasana di perkampungan karyawan itu. Tajuknya Tatkala Bercerita Kepada Anak, sudah termuat dalam antologi apa saya pun tidak ingat. Cerita dalam sajak itu ialah mengenai nostalgia zaman kanak-kanak saya sekitar tahun awal-awal 70-an dahulu.

Si Shasha yang comel membuat komentar usai bacaan sajak saya, bahawa pada malam itu barulah dia tahu usia saya sudah di hujung 40-an dan sudah punya anak-anak yang telah dewasa.

“Sumpah! Sha ingatkan kak umur 30-an selama hari ini!”

Kembang-kembang hidung saya. Biar betul si Shasha ini. Waktu tazkirah itu dia terkejut sebab saya minta adik menyalaminya dan memperkenalkan anak saya itu. Dia mati-mati tidak percaya. Saya bergurau minta dia pakai kaca mata supaya dapat lihat kedut-kedut di wajah saya.

Acara baca sajak itu berlangsung hingga jam 11.45 malam. Kemudian peserta memilih mahu ikut acara mana. Sama ada jungle tracking, memancing atau mengambil foto di bawah bimbingan mereka yang pakar. Saya masuk kumpulan yang keempat iaitu chatting dan sleeping!

Ada kelompok penulis yang tidak ikut serta. Mereka berkumpul dan bercerita. Saya dan adik memang gagal lena. Baru sahaja mahu lelap, terdengar suara orang ketawa. Kemudian tiba-tiba bunyi mesin potong kayu. Kayu bakaran unggun sudah habis.

Apabila kumpulan memancing balik, lagi riuh-rendah. Mereka membakar ikan. Terdengar jelas mereka berteriak, “sedapnya. Manis dan tidak hanyir!”

Err...maaflah. walaupun saya tidak dapat tidur, tetapi saya malas betul mahu menongkat mata di luar khemah untuk meratah ikan.

Rasanya kami hanya dapat lena selama sejam atau sejam setengah. Jam lima pagi saya bangun menyertai Dr Zurinah untuk mandi. Kalau lewat sedikit jawabnya bilik air penuh. Ada yang tidak mandi sebab ada acara mandi sungai menjelang tengah hari.

Ada seorang budak perempuan tidak tidur. Ya lah, anak orang kaya tentu sukar membiasakan diri di khemah atau tidur di lantai keras. Makan pagi itu kami dihidangkan dengan ubi kayu rebus, jagung rebus, roti canai dan kuih-muih. Budak anak orang kaya makan dengan lahapnya walaupun tidak kenal ubi kayu. Mereka kata “ini buah pear ya?”

Saya dan adik makan pagi dan berbual sekejap dengan penulis yang masih berbaki. Ada yang sudah pulang tengah malam dan awal pagi.

Jam sembilan setengah saya minta diri. Mengucapkan terima kasih kepada Pak Malim dan bertanyakan acara ke Peru.

Sampai di simpang, saya teringat mak.Dari Gopeng lebih kurang satu jam lebih sedikit jika kami mahu jumpa mak. Akhirnya kami bergerak ke kampung dan saya minta adik tidur dalam dua jam sebelum kami bergerak pulang ke Seremban. Jam tiga setengah petang, saya melambai-lambai mak.

Saya tidak ikut acara mandi sungai. Sebenarnya badan sangat letih. Adik pula tidak cukup tidur. Kasihan dia yang memandu.

Seronok berkampung di tanah itu. Walaupun menurut Pak Malim, “ada pak belang datang bawa separuh kambing di laman ini. Bila saya bangun keesokannya, separuh bangkai kambing itu tidak ada. Maknanya dia datang dua kali ke laman ini...” kata Pak Malim menunjukkan tempat pak belang bertamu dalam loghat Perak yang pekat.

Sepanjang jalan balik, adik berangan-angan mahu memiliki tanah seperti Pak Malim. Tanah untuk para karyawan dan seniman berkampung. Untuk pelukis melakar karya, jurukamera merakam indah, penulis mencatat puisi. Dalam udara segar dan penghuni hutan yang saling bersembang.

Dan saya sangat bersyukur sebab dalam perjalanan menuju sunyi, saya semakin akrab dengan alam dan Tuhan.