Total Pageviews

Sunday, February 16, 2014

Menyelusuri Cinta Kekasih

Saya menekuni buku tulisan Dr Danial Zainal Abidin itu sambil melayan dada yang senak dan rasa letih yang kerap bertamu sejak akhir-akhir ini.

Buku yang menggunakan laras saintifik dan keagamaan ini membincangkan mengenai bukti-bukti sains dan sejarah kerasulan Muhammad SAW.

Pertama kali membacanya, saya menjadi seperti mesin pengimbas. Skip di sana dan skip di sini. Membaca apa yang saya mahu baca. Tetapi lazimnya saya akan mengulang baca beberapa kali sehingga faham.

Saya tertarik dengan ayat dalam Surat Al-Anbiyak ayat 30, “sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum sebagai satu, kemudian kami pisahkan kedua-duanya...”

Teori yang diterima umum ialah Teori Big Bang yang mengisahkan satu letupan kuat berlaku sekitar 10 hingga 20 bilion tahun dahulu. Daripada letupan inilah, lahirnya bintang-bintang, galaksi dan sebagainya.

Allah telah menyebutnya dalam Al-Quran mengenai hal ini sejak 1420 tahun yang lalu. Ramai para sarjana Islam dan Barat yang mengakui, antaranya ialah Syeikh Tantawi Jauhari, Edwin Hubble, Arno Penzias dan Robert Wilson.

Kisah kejadian alam terutama yang berkaitan dengan astronomi banyak terdapat dalam Surah Al-Fussilat, Al-Zariyat, Al-Anbiyak, An-Naml, Surah Yunus dan beberapa surah lain.

Oleh sebab kurang memahami bahasa Al-Quran, saya membaca terjemahannya sahaja sama ada Tafsir Ar-Rahman atau yang datangnya dari negara jiran, Indonesia. Saya melihat kitab ini dipenuhi dengan hal-hal perundangan, ekonomi, kekeluargaan, sejarah, ilmu sains termasuk biologi, fizik dan kimia; matematik dan pelbagai lagi.

Memang bukan manusia yang menulisnya, bukan Muhammad SAW, bukan juga para sahabat baginda yang dikasihi.

George Bernard Shaw yang sangat terkenal itu banyak mengkaji dan menulis mengenai Muhammad SAW. Katanya (yang saya terjemahkan) berbunyi...”Saya yakin sekiranya manusia sepertinya diberi peluang memerintah dunia moden ini, beliau pasti dapat menyelesaikan masalah-masalah yang ada sehingga mendatangkan kedamaian dan kebahagiaan pada kehidupan. Saya pernah mengatakan agama ajaran Muhammad ini, suatu hari nanti dapat diterima di Eropah”.

Thomas Carlyle (1795-1881) menyebut bahawa...”Muhammad bukanlah orang yang menurut nafsu. Rumah tangganya hanya mempunyai perkara-perkara asas. Makanannya yang biasa adalah roti, sya’ir dan air. dan kadangkala selama berbulan-bulan dapurnya tidak berasap. Umat Islam melaporkan dengan rasa bangga, beliau menjahit kasut dan pakaiannya sendiri. Beliau begitu beradab, berbeza daripada lelaki lain pada masa itu. Sekiranya tidak kerana sifat-sifat ini, tidak mungkin orang-orang Arab yang ganas itu yang mengenalinya selama 23 tahun, menghormati dan menyanjungnya. Orang-orang Arab itu sudah biasa dengan keganasan dan persengketaan, dan tidak mungkin ada individu yang dapat menguasai mereka melainkan sekiranya dia benar-benar mampu dan layak. Belum pernah ada maharaja yang ditaati seperti mana Muhammad ditaati. Selepas 23 tahun beliau diuji dengan ujian yang hebat, saya mendapati beliau memang seorang wira yang unggul dan saya sendiri berikan ketaatan kepadanya”.

Paderi George Anthony dari Sri Lanka menulis, “ orang-orang Kristian mengatakan Nabi isa adalah anak Tuhan sedangkan dalam Acts 2:22, Bible menegaskan Isa adalah manusia. Ayatnya bermaksud ‘ wahai mereka daripada keturunan Israil, dengarlah Jesus dari Nazareth adalah manusia daripada kalangan kamu yang menerima pelbagai mukjizat, yang dipilih oleh Tuhan, sebagaimana yang kamu sudah tahu’”.

Mengenai Muhammad SAW, beliau menyambung, “di dalam Bible Esaiah 9:12 disebutkan ‘kitab itu diberikan kepada dia yang tidak tahu membaca’. Ayat ini sebenarnya sedang menceritakan Nabi Muhammad adalah nabi yang tidak tahu membaca dan menulis. Semasa Jibrail menyuruh beliau membaca, beliau menjawab, ‘aku tidak tahu membaca’”.

Para sarjana bukan Islam mengakui akan kehebatan Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW.

Tetapi kita?

Kita mengambil sebahagian ajaran dan mengabaikan sebahagian yang lain.


Kita memperolokkan apa yang tercatat dalam kitab Allah. Kita membanding-bandingkan pula dengan kehendak zaman yang kononnya lebih terkehadapan daripada isi Al-Quran.

Sedangkan yang sebenarnya kita yang tertinggal jauh di belakang.

Isi kitab itu telah menceritakan hal-hal yang telah berlaku, sedang dan akan berlaku.

Ia bukan tulisan manusia.

Ia kalimah-kalimah agung oleh Allah Yang Maha Agung.

Mudah-mudahan mengalirlah pahala yang berpanjangan buat penulis buku ini.