Total Pageviews

Saturday, February 15, 2014

Air, Di manakah Kau?

Hari kerja yang sepatutnya diganti akhirnya ditangguh ke tarikh lain akibat krisis air.

Sudah seminggu krisis air berlangsung. Biasanya Balai Islam merupakan stesen terakhir yang menjadi penyelamat buat pengembaraan mencari air. Malangnya, Balai Islam pun sudah tiada air. Saya terpaksa lari balik ke rumah untuk solat. Ada sahabat yang bergerak ke masjid sekitar.

Siswa-siswi guru pelatih sangat kasihan. Mereka mengadu macam-macam. Tidak dapat mandi pagi, cuci baju, mahu ke tandas pun payah atau kalau dapat mandi dengan air yang dihantar lori, kulit menjadi gatal-gatal.

Bukan di sini sahaja ada masalah air. Empangan di seluruh negara sedang kritikal. Musim kemarau ini khabarnya panjang. Perlu ada tindakan segera daripada agensi berkaitan. Jangan biarkan pelajar-pelajar itu stres, minda mereka jangan diganggu dengan masalah yang tidak sepatutnya mengacau fokus.

Semasa di Pilah dahulu, saya sudah biasa dengan ketiadaan air. Saya membeli sepuluh tong hitam guna untuk mengisi air. Bila pindah, ada tong yang saya tinggalkan. Ada juga yang saya beri kepada jiran baharu. Sekarang cuma tinggal tiga buah. Cukuplah untuk kecemasan.

Inilah masanya kita merindui air. Apabila sudah tiada...kalau masih banyak bercurahan, jarang sangat kita menghargai. Buatlah kempen sejuta kali, kita hanya mengiyakan tetapi tidak menyahut seruan kempen dengan bersungguh-sungguh.

Sebenarnya krisis air atau apa pun, boleh memberikan kita iktibar jika difikirkan dengan teliti.

Semasa ada, kita jarang peduli.

Sudah tiada di sisi, baru kita sibuk mencari.

Sama ada air, api, manusia atau apa sahaja...itulah yang biasanya terjadi.