Total Pageviews

Tuesday, February 18, 2014

Berbual Dengan Doktor Atira

Dalam tren saya jumpa Atira. Berusia 25 tahun, anak sulung daripada lima beradik. Dia mahu pulang ke Bahau dari UKM.

Atira baru menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran dari sebuah universiti di India. Sementara menunggu panggilan kerja, dia mengisi waktu dengan mengikuti majlis-majlis ilmu.

“Saya ikut program Ustaz Hasrizal Jamil di UKM” katanya.

Oh, bagus!

Banyak yang saya bualkan dengan Atira. Antaranya ialah persoalan solat pesakit di wad.

“Kena ada yang membantu dan mengingatkan pesakit tentang solat. Sudahlah sakit dan sakit itu bermakna dekat dengan mati; solat pula tidak dibuat. Kadang-kadang sebab tiada orang membantu. Kadang-kadang pula sebab tidak tahu bagaimana cara solat ketika terlantar...” Saya mengadu. Pengalaman duduk di wad sebanyak tiga kali memberikan saya keinsafan ini. Ada waktu-waktunya saya tertinggal solat. Ada waktu saya solat sambil duduk.

Bagaimana kalau dalam waktu-waktu itu nyawa saya diambil Allah?

Huh! Sangat menakutkan!

Atira memberikan info bahawa di hospital di India, seorang paderi ditugaskan untuk melawat seorang pesakit setiap hari. Paderi ini akan mendoakan, membaca Bible dan memberi motivasi. Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Tiada ustaz yang datang untuk membaca ayat-ayat Allah kepada pesakit. Kalau ada pun sebuah hospital swasta di KL yang mengamalkan ini. Berapa ramai orang yang mampu untuk menggunakan perkhidmatan semahal itu?

Rupa-rupanya benda ini turut berlegar dalam minda Atira. Mudah-mudahan doktor-doktor muda yang mempunyai kesedaran beragama sepertinya dapat melakukan sesuatu. Malaysia akhirnya nanti bukan sahaja kaya dan aman, tetapi turut mendapat rahmat Illahi.

Banyak yang saya bualkan dengan gadis itu. Daripada persoalan diri sehinggalah politik. Saya bangga melihat anak-anak gadis yang tidak terbuai dengan gemerlap bintang filem dan dunia hiburan. Gadis itu mengingatkan saya kepada seseorang. Seseorang yang amat saya kenali peribadi dan hati puluhan tahun lalu. Yang penuh dengan idealisme dan semangat juang. Sekarang dia sudah menjadi ibu. Dewasanya dicorakkan oleh pergolakan hidup yang rencam. Diuji dengan deretan ujian. Dan dia masih berjuang dengan caranya sendiri.

“Siapa mak cik sebenarnya?”

Itu yang ditanya Atira selepas saya bercerita mengenai kisah dua orang banduan dalam sel. Kisah yang memberikan kita peringatan betapa pentingnya melihat sesuatu dari sisi yang positif.

Dalam senyuman, saya biarkan gadis itu meneka...

"Mak cik hanya ibu yang biasa. Bukan orang kaya, bukan juga orang yang bijaksana" kata saya

Kami berpisah di stesen.

Kehidupan kita tidak berhenti seperti berhentinya tren di stesen.

Begitu juga dengan minda kita.

Itu sebabnya saya biarkan sahaja persoalan itu berputaran di minda Atira...