Total Pageviews

Wednesday, February 19, 2014

Jalan-jalan Ke HUKM

Hari ini ada satu kebetulan. Pergi dan balik menaiki tren lama yang hanya ada empat gerabak, pintu antara gerabak berbunyi bising jika sesekali tren melingkar arah.

Waktu balik, kena berdiri juga sebab gerabak penuh. Di pertengahan jalan baru dapat duduk.

Di hospital pula, ada 9 orang sedang menunggu di luar bilik mamo Jabatan Radiologi. Setelah menyalin pakaian hospital berwarna putih yang koyak sedikit di belakang, saya melalui proses mamogram yang agak menyakitkan. Kemudian saya menunggu pula di kamar sebelah. Menyalami wanita-wanita yang ada di situ.

Kami saling bertukar maklumat. Ada yang hanya diam macam penat dan risau. Saya paling banyak bersembang terutama dengan seorang mak cik berusia 70 tahun tetapi kelihatan begitu sihat. Dia merupakan sukarelawan SAHABAT untuk pesakit kanser. Dia juga turut menjalani proses mamo dan ultra-bunyi.

“Kita kena tengok orang-orang yang macam kakak ini. Sudah sangat berusia tetapi masih cergas membantu orang lain. ..” kata saya memuji.

Kalau kita banyak sangat menyelongkar kisah pesakit yang meninggal dunia atau terlantar, kita akan termasuk dalam lingkaran aura negatif. Payah mahu keluar daripada lingkaran itu kalau sudah terjebak.

Menjalani ujian ultra-bunyi agak mengambil masa. Saya antara yang paling lama disebabkan sejarah pembedahan. Saya mencuri lihat nama di kad. Doktor Sarah Haji Yazid. Muda. Lahir tahun 1981. Dia melakukan ujian berkali-kali sambil bersembang. Mulanya dia mengesyaki ada cyst di bahagian bawah kanan. Itu sebabnya proses ujian saya agak lama.

“Rasanya OK saja. Nantilah keputusan pakar pada 6 Mac”. Dia memberitahu sambil menyerahkan surat cuti. Dia mahu saya rehat. Menjelang petang, rasa sengal mula menyerang. Tapi saya malas ambil peduli.

Hari ini selain kena naik tren buruk pergi dan balik, ada satu lagi hal yang lain macam. Sandal si adik tercabut tali. Saya suruh dia duduk diam dan saya bergegas ke kedai HUKM untuk membeli selipar. Kemudian saya memberikannya kasut yang saya pakai. Pun entah apa kenanya, kasut itu pun rosak!

“Ibu jalan laju sangat...” dia memberi komen. Orang pendek memang berjalan laju, dik! Sebab kaki pun pendek hahaha...

Sepanjang jalan balik, saya terlelap sekejap-sekejap. Cuaca panas kering di luar dan di dalam tren, pendingin hawanya kuat. Orang-orang dalam gerabak tidak peduli dengan orang sekitar. Ada yang terlentuk lena dan ada yang sedang menekan telefon pintar sambil senyum-senyum.

Meskipun perjalanan dan proses menunggu itu sangat meletihkan, tetapi banyak cerita yang saya peroleh.

Saya belajar menjadi sabar.

Belajar juga untuk menikmati keindahan hospital dan orang-orang di dalamnya.

Ada orang yang memang kelihatan sakit.

Tetapi ada juga yang tidak kelihatan begitu.

Makan-makan dan bergurau senda di meja kafe.

Selalu ingat, apa pun yang datang menyapa, kita tidak boleh berpaling.

Mesti hadapinya dengan senyuman persis bunga-bunga matahari yang mekar berkembang!